Geng 36 terlibat samun RM1.2 juta tumpas

Geng 36 terlibat samun RM1.2 juta tumpas

Polis memberkas lima ahli kongsi gelap Geng 36 yang dikesan melakukan samun berkumpulan membabitkan kerugian RM1.2 juta dengan menggunakan kenderaan mewah di sebuah kondominium Klebang di sini, minggu lalu.

Kesemua suspek berusia 34 hingga 37 tahun diberkas dalam satu serbuan di sebuah rumah di Bandar Baru Sri Petaling, Kuala Lumpur pada pukul 3.45 petang, 7 Jun lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, serbuan itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka selepas menerima laporan berhubung kes samun tersebut pada 5 Jun.

Laporan dibuat seorang lelaki berusia 54 tahun mendakwa dia, isteri serta dua anak berusia lapan dan sembilan tahun disamun empat lelaki pada pukul 8.30 pagi.

“Suspek menyerbu masuk sebaik sahaja mangsa membuka pintu rumah dan mengambil pisau didapur untuk mengancam.

“Dia dan isteri berusia 42 tahun diikat dan suspek menggeledah rumah itu sehingga pukul 3.30 petang sebelum melarikan pelbagai barang antik serta sebuah kenderaan utiliti sukan jenis Range Rover.

“Susulan itu, sepasukan JSJ Melaka membuat serbuan di Bandar Baru Seri Petaling dan memberkas lima suspek Geng 36. Kes ini selesai dalam masa tiga hari,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka di sini hari ini.

Menurut Abdul Majid, kesemua suspek menetap di Lembah Klang dan merentas ke Melaka menggunakan surat kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Mereka menggunakan dua buah kenderaan mewah pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire dan trak pikap Toyota Hilux.

“Pemeriksaan pada kenderaan juga mendapati ada pelekat mirip logo Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dipamerkan di cermin hadapan,” katanya.

Semakan lanjut mendapati kesemua suspek mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah.- K! ONLINE

COMMENTS