Gabungan PH-BN mampu gugat Pas di Kelantan, Terengganu dan Kedah

Gabungan PH-BN mampu gugat Pas di Kelantan, Terengganu dan Kedah

Gabungan PH-BN mampu gugat Pas di Kelantan, Terengganu dan Kedah. Keputusan kepimpinan Umno dan Barisan Nasional untuk bersama dengan Pakatan Harapan kini membuka peluang untuk Pas dikalahkan di pangkalan mereka iaitu di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Sekurang-kurangnya inilah harapan akar umbi Umno selepas pemimpin mereka berjaya membentuk kerajaan perpaduan bersama dengan Pakatan Harapan.

Inilah juga harapan pemimpin Pakatan Harapan (PH) di ketiga-tiga negeri itu yang sudah tidak nampak jalan untuk menang dalam mana-mana pilihan raya akan datang.

Bagi kebanyakan mereka, mengalahkan Pas di pangkalan mereka hampir mustahil selepas Pas dan rakan-rakannya dalam Perikatan Nasional (PN) hampir menyapu bersih kerusi Parlimen di ketiga-tiga negeri itu dalam pilihan raya umum lepas.

Namun dengan kerjasama BN dan PH, mereka melihat ada cahaya di hujung terowong.

Bagi aktivis Umno, Mohd Yusoff Solu, berkawan dengan Pas tak dapat apa-apa laba kepada Umno.

Contoh klasik adalah apabila Datuk Seri Mohd Alwi Che Ahmad meletakkan jawatan sebagai Ketua Pembangkang DUN Kelantan, “satu jawatan pun tak diberi kepada beliau oleh kerajaan Pas sebagai gesture of appreciation,” katanya.

Di Terengganu pula, wakil Umno hanya boleh duduk di ‘serambi’ kerajaan negeri sahaja manakala peruntukan kerajaan Pusat yang diberikan melalui kerajaan negeri hampir tidak diperolehi oleh wakil mereka.

Bagi Yusof, kalau Umno bersama PN maka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti Umno hanya akan diberi bertanding enam kerusi yang dimenangi Umno dulu sahaja.

PRN akan diadakan di tiga negeri yang dikuasai Pas iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah serta tiga negeri yang dikuasai PH iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang selepas kerajaan negeri ke enam-enam negeri ini tidak mahu mengadakan pilihan raya di musim tengkujuh.

“Suka saya menyeru kepimpinan semua parti bersatu upaya dan sumber dengan satu matlamat rimuf (ketepikan) Pas dari terus memanipulasi
Kenaifan rakyat Kelantan.

“Umno + Amanah + PKR + Putra + rakyat = Pas jatuh,” tulis beliau menerusi Facebook beliau merujuk kepada kerjasama politik di Kelantan, negeri yang kini mempunyai 100 peratus Ahli Parlimen Pas.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan tahniah atas pandangan jauh dan langkah politik bijaksana yang diambil Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid.

Kerjasama BN dengan PH juga telah membolehkan pemimpin dari BN dilantik untuk menjadi menjadi Menteri Besar di Perak walaupun mendapat kerusi yang sedikit sahaja berbanding kerusi PH.

Pahang juga dijangka menurut jejak langkah Perak apabila MB dari BN dijangka akan mengangkat sumpah jawatan tidak lama lagi.