Gabungan mana miliki majoriti tubuh kerajaan terjawab hari ini, Anwar ‘kekal tenang’

Gabungan mana miliki majoriti tubuh kerajaan terjawab hari ini, Anwar ‘kekal tenang’

Gabungan mana miliki majoriti tubuh kerajaan terjawab hari ini, namun Anwar ‘kekal tenang’. Pemimpin politik dilaporkan sibuk hari ini dengan bermulanya rundingan menjalin pakatan untuk menubuhkan kerajaan persekutuan campuran.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin, yang gabungannya membuat kejutan selepas memenangi sejumlah besar kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15), menjadi fokus utama pagi tadi susulan pertemuannya dengan ahli politik dari blok Borneo.

Tumpuan kemudiannya beralih kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN), Ahmad Zahid Hamidi dan pemimpin Umno lain yang mengadakan mesyuarat tergempar Biro Politik tengah hari tadi.

Pada malam pula, media bergegas ke rumah Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim, susulan khabar angin berhubung pertemuannya dengan Zahid bagi membincangkan kerjasama antara BN dan PH.

Pemimpin politik mempunyai masa sehingga 2 petang esok untuk memutuskan gabungan bagi membentuk kerajaan campuran dan mengemukakan calon perdana menteri yang mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat kepada Yang di-Pertuan Agong.

Desas-desus tersebar berhubung pakatan antara PN, BN dan ahli politik Blok Borneo Sabah serta Sarawak, selain cakap-cakap berhubung beberapa pemimpin BN yang memilih untuk bekerjasama dengan PH.

Malam ini, Anwar menegaskan beliau mempunyai sokongan mencukupi untuk mencapai majoriti di Dewan Rakyat.

Selepas media berkumpul di luar rumahnya malam ini, Anwar menerusi satu klip video merayu pengamal media bersabar. Klip video oleh Astro Awani itu dimuat naik Anwar ke Twitternya.

“Maaf kawan-kawan kerana lama menunggu. Saya harap semua boleh bersabar dan berdoa untuk kepentingan negara,” katanya.

Kediaman Muhyiddin pula dikunjungi beberapa ahli politik, termasuk dari Malaysia Timur, selepas Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Abang Johari Openg menemui Muhyiddin dan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang pagi tadi.

Abang Johari berkata, GPS setuju bergabung dengan PN, BN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk membentuk kerajaan campuran. Tetapi, ia dinafikan Zahid yang berkata, BN tidak berunding dengan PN atau GPS untuk membentuk kerajaan persekutuan.

Petang tadi, tujuh kenderaan membawa pemimpin PN dilihat memasuki kawasan kediaman Muhyiddin, lapor Astro Awani. Antaranya termasuk Presiden Parti Progresif Sabah, Yong Teck Lee yang juga timbalan pengerusi GRS.

Hadi dan Timbalannya, Tuan Ibrahim Tuan Man turut hadir.

Pada 7 malam, tujuh kenderaan bernombor pendaftaran Sabah yang dipercayai membawa anggota gabungan Sabah itu dilihat keluar dari kediaman berkenaan.

PN memenangi 73 kerusi Parlimen dalam PRU15, kurang 39 kerusi untuk mencapai majoriti mudah di Dewan Rakyat. BN mempunyai 30 kerusi, GPS (22) dan GRS (6). Gabungan empat blok itu menjadikan keseluruhan 131 kerusi, cukup untuk membentuk kerajaan stabil.

PH memenangi 82 kerusi. Kerjasama PH dan BN (30 kerusi) akan menyaksikan mereka memiliki majoriti mudah 112 kerusi, atau 140 kerusi, jika disertai GRS dan GPS.

Gabungan mana miliki majoriti tubuh kerajaan terjawab hari ini, Anwar 'kekal tenang'