Felda perlu kembali kelandasan asal

Felda perlu kembali kelandasan asal

Pada mesyuarat Belanjawan yang lalu bagi Dewan ini, saya telah menerangkankan bahawa Kerajaan berchadang hendak membentangkan satu Rang Undang2 dengan tujuan hendak menyegera dan melekaskan lagi Rancangan Kemajuan Tanah di Luar Bandar.

Seperti Ahli2 Yang Berhormat mengetahui, Kerajaan telah memberi keutamaan yang tinggi sekali kepada Rancangan Kemajuan Tanah sebagai suatu langkah yang mustahak sekali bagi membaiki keadaan hidup ra’ayat jelata di luar bandar.

Rang Undang2 itulah mempunyai tujuan yang tersebut dan juga menchadangkan pindaan2 pada peraturan Pejabat Tanah bagi membaiki perjalanannya itu. Akan tetapi sabelum saya menerangkan butir2 di dalam Rang Undang2 ini, saya suka menegaskan iaitu Rang Undang2 ini dibentangkan di Dewan ini di bawah fasal 76(4) Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, dengan tujuan hendak menyama dan menyatukan undang2 dan dasar berkenaan berkumpul dan mengeluarkan Gran Tanah di dalam kawasan2 yang dinamakan “Group Settlement” itu’.

– petikan Ucapan Allahyarham Tun Abd Razak Hussein di Parlimen pada 27 April 1960.

Di tubuhkan pada 1 Julai 1956, mempunyai 112,635 peneroka di 317 Felda seluruh negara.

Mempunyai keluasan tanah peneroka 450, 632 hektar, manakala tanah yang dipajak FGV seluas 350,733 hektar.

Felda adalah institusi pembangunan tanah yang terbesar di dunia dan menjadi simbol kejayaan khususnya bagi orang melayu.

Meskipun telah ditubuhkan 64 tahun, pahit getir dan cabaran mengurus organisasi sebesar Felda tentu sekali tidak mudah.

Ia tidak terlepas dari gangguan pihak berkepentingan yang berselindung atas nama peneroka.

Tragedi hitam di Felda Cahaya Baru, Sg Buaya, Labu Johnson, Sendayan dan Bukit Cherakah akan diingati atas kerakusan menjual tanah peneroka kononnya membangunkan bandar baharu serba moden dan melahirkan jutawan segera yang tidak ketahuan sampai kini.

Kemuncaknya, penyenaraian FGVH di Bursa Malaysia pada Jun 2012 diibaratkan ‘menang sorak kampung tergadai’. Saham terbitan yang bermula rm4.55, hari ini(3 Okt 2020) hanya berada pada harga rm1.03 sesaham!.

Isu kelemahan dan kesilapan urus tadbir, penyelewengan dan salah guna kuasa berbagai pihak telah bincangkan. Pernah suatu ketika mempunyai rezab terkumpul rm4.05 bilion kini Felda menanggung beban hutang rm14.4 bilion seperti dilapurkan dalam pembentangan kertas putih di Parlimen pada 10 april 2019.

Pengumuman Kerajaan menerima cadangan terbitan sukuk bernilai rm9.9 bilion oleh Felda dengan jaminan Kerajaan adalah sangat di alu alukan. Perbincangan segera antara Felda dengan FGV harus dimulakan, sekaligus menamatkan spekulasi usaha pihak ke 3 yang bercita cita mengambilalih tanah pajakan seluas 350,733 hektar.

Pelan pemulihan Felda dari Kertas Putih dan kesinambungannya oleh Pasukan Petugas Khas yang diketuai Tan Sri Wahid Omar telah pun dibentangkan kepada jemaah menteri 14 Oktober lalu.

Pembabitan pakar pakar dalam disiplin masing masing, bekas pegawai kanan Felda, Ngo2 Felda dengan pengurusan tertinggi Felda adalah kombinasi menyeluruh yang dijangka akan dilihat kesannya pada tahun 2023 seperti dilaporkan Pasukan Petugas Khas.

Saya mengharapkan peranan Ahli Parlimen khususnya di 54 kerusi parlimen Felda dalam Sidang Dewan Rakyat dan pembentangan Bajet pada 6 Nov 2020, akan membawa sinar dihujung terowong.

Cukuplah derita yang dialami peneroka dan Generasi Baharu Felda akibat kerakusan mereka yang ditampuk kuasa.

Malaysia Baharu mengimpikan konsolidasi merentasi politik kepartian. Bina semula Felda seperti yang digagaskan Allahyarham Tun Razak. Jangan diulangi pengkhianatan masa lalu dari petualang bangsa sendiri.

Moga FELDA kembali ke landasan asal.

Moga usaha kita diberkati Allah.

Datuk Mazlan Aliman
Pengerusi Majlis Permuafakatan Ngo2 Felda(MPNF),
Penasihat Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan(ANAK)