Faiz Fadzil minta bicara tuduhan serangan seksual

Faiz Fadzil minta bicara tuduhan serangan seksual

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil mengaku tidak bersalah atas tuduhan melakukan serangan seksual bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini.

Faiz dituduh menggunakan kekerasan jenayah dengan niat hendak mencabul kehormatan seorang wanita berusia 31 tahun pada 8 Mac, antara jam 9.45 malam dan 11.30 malam, ketika mereka berdua berada di dalam sebuah kereta dari pusat membeli-belah Sunway Pyramid ke Subang Jaya, menurut kertas pertuduhan yang dilihat oleh Malaysiakini.

Ketika dihubungi, DPP Zahida Zakaria, daripada unit jenayah seksual Jabatan Peguam Negara, mengesahkan pertuduhan terhadap Faiz, yang dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Reza Azhar Rezali.

Dia berkata ahli politik Amanah itu dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 dan dengan syarat tidak mengganggu saksi pendakwaan.

“Tarikh perbicaraan seterusnya ditetapkan pada 6 Ogos untuk penyerahan dokumen,” kata Zahida kepada Malaysiakini hari ini.

Terdahulu, wanita yang didakwa mangsa itu dikenal pasti oleh portal dalam talian MalaysiaNow pada laporan 24 Mac sebagai ahli PKR.

Faiz, yang juga anggota jawatankuasa pusat Amanah, pada ketika itu menafikan semua tuduhan dan mengesahkan akan bekerjasama dengan siasatan polis berikutan laporan wanita itu dibuat pada 16 Mac.

DPP Nur Aishah Ahmad Zakiuddin juga hadir untuk pendakwaan manakala Faiz diwakili oleh Abdul Aziz Hamzah, Surya Putra Mohamad Taulan, Hairulallias Shaari dan Ahmad Faiq Azizan.

Seksyen 354 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun dan denda, atau dan sebatan, atau dua daripada tiga hukuman tersebut. | MK

COMMENTS