ESSCOM tumpaskan sindiket dadah di Tawau, rampas RM 2.5 juta

ESSCOM tumpaskan sindiket dadah di Tawau, rampas RM 2.5 juta

Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur (ESSCOM) menumpaskan sindiket pengedaran dadah susulan rampasan 54.35 kilogram syabu dan 74.56 gram pil Ecstacy bernilai RM2.5 juta dalam serbuan di kawasan Kuala Sungai Tawau Lama, di sini, kelmarin.

Komander ESSCOM, Datuk Ahmad Fuad Othman, berkata rampasan itu dibuat susulan pengesanan sebuah bot laju dalam keadaan mencurigakan di perairan Tawau menuju perairan Wallacebay, Indonesia.

Katanya, susulan itu pasukan keselamatan digerakkan ke lokasi dan berjaya memintas bot berkenaan.

Bot laju dikendalikan dua suspek lelaki itu bertindak memecut dan berpatah balik ke perairan Tawau Lama sebelum dikejar bot Pasukan Polis Marin yang membuat kawalan di kawasan perairan berkenaan.

“Kedua-dua suspek bagaimanapun dapat meloloskan diri,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau, di sini hari ini.

Katanya, pemeriksaan ke atas bot yang ditinggalkan suspek itu menemukan tiga kotak besar berlainan saiz mengandungi 54 bungkusan Teh Cina bertulis ‘Qin Shan’ yang berisi hablur kristal disyaki dadah jenis syabu.

Mengulas lanjut Ahmad Fuad berkata, pemeriksaan turut menemukan satu paket plastik mengandungi sebanyak 234 biji pil Ecstacy seberat 74.56 gram.

“Ini adalah hasil rampasan terbesar dadah jenis syabu oleh ESSCOM sejak OCP Darat dan Laut yang dilancarkan di Kawasan Zone Selamat Timur Sabah (ESSZONE) pada Mac lalu.

“Setakat ini siasatan lanjut masih dijalankan termasuk usaha mengesan suspek dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/kes/2020/11/758227/esscom-rampas-syabu-pil-ecstacy-rm25-juta%C2%A