Enggan rujuk punca suami tumbuk, tarik rambut isteri

Enggan rujuk punca suami tumbuk, tarik rambut isteri

Enggan rujuk punca suami tumbuk, tarik rambut isteri. Akibat berang isterinya enggan kembali hidup bersama, seorang lelaki dikatakan sanggup bertindak mencederakan wanita itu dengan menumbuk belakang badan serta menarik rambut mangsa di Tasik Bandar Darulaman, di sini, Sabtu lalu.

Enggan rujuk punca suami tumbuk, tarik rambut isteri

Bagaimanapun, tindakan lelaki itu mengundang padah apabila dia kini diburu polis selepas video pergaduhan pasangan suami isteri berkenaan tular di laman sosial Facebook (FB).

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan, berkata kejadian dipercayai berlaku apabila suspek berusia 33 tahun berang selepas mangsa enggan kembali hidup bersamanya.

Beliau berkata, pasangan suami isteri itu kini dalam proses untuk berpisah dan tinggal berasingan sejak 8 November lalu.

“Ketika kejadian, wanita berusia 22 tahun itu pergi ke kawasan tasik untuk mengambil anak perempuannya berusia enam tahun yang dijaga sementara oleh suspek.

“Namun, suspek disyaki memukul mangsa menyebabkan dia menjerit meminta tolong sebelum orang awam datang membantu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rodzi berkata, suspek bagaimanapun berhenti memukul mangsa dan melarikan diri selepas orang ramai memberi amaran untuk membuat laporan polis.

“Susulan itu, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu melakukan pemeriksaan di sebuah rumah tidak bernombor di belakang pasar Changlun sekitar jam 1 pagi semalam untuk mengesan suspek.

“Polis masih mengesan suspek dan hasil semakan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lalu berkaitan kes pukul sehingga mendatangkan kecederaan,” katanya.