Enggan putus hubungan dengan Bersatu, Shahidan menteri ikut nafsu

Enggan putus hubungan dengan Bersatu, Shahidan menteri ikut nafsu

Sekiranya Umno Perlis akan bersama PN dan tidak dengan BN pada PRU15, maka langkah itu akan membuka satu keadaan politik baru, kata veteran Umno Shahrir Samad.

Dia mengulas kenyataan Pengerusi Perhubungan Umno Perlis, Shahidan Kassim semalam yang mencabar keputusan Majlis Tertinggi bahawa parti itu akan memutuskan hubungan dengan Bersatu menjelang pilihan raya akan datang.

“Maknanya, Shahidan dan gengnya dari Umno Perlis akan bertanding sebagai calon PN dan guna lambang PN. Agaknya, PAS Perlis pun akan ikut sama, iaitu bertanding tanpa logo PAS.

“Sebaliknya, calon-calon Umno yang tidak ikut Shahidan akan pula bertanding sebagai calon BN dan guna lambang BN.

“Ia akan jadi tiga penjuru. Menarik, kalau ikut kehendak nafsu Shahidan,” kata Shahrir pada hantaran di media sosial malam tadi.

Shahidan menegaskan Umno Perlis berpendirian akan tetap akan berunding dengan gabungan Perikatan Nasional (PN).

Kalau Perlis buat keputusan, mereka nak buang Perlis, maka buanglah,” katanya yang dilantik pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) sejak Oktober tahun lalu oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Shahidan yang juga Pengerusi Perbadanan Perumahan Malaysia mengulas kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini menyatakan bahawa majlis tertinggi parti itu telah mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu.

Keputusan itu dijangka dimuktamadkan pada perhimpunan agung Umno yang akan diadakan pada 27 Mac nanti.

‘Banyak lagi bahagian Umno nak kerjasama Bersatu’

Sebelum ini, bekas ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Annuar Musa pada 6 Mac lalu membayangkan lebih banyak lagi bahagian parti itu atau kepimpinan peringkat negeri bakal mengambil pendirian untuk meneruskan kerjasama dengan Bersatu.

Setakat ini, Umno Perlis dan Sabah menyatakan pendirian mereka yang bertentangan dengan kecenderungan rasmi MT Umno.

Ia juga berlaku sesudah Ahmad Zahid mengutus surat kepada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menyampaikan keputusan MT Umno menamatkan kerjasama dengan PN pada PRU15.

Zahid dikatakan bakal berdepan dengan lebih banyak kesukaran untuk membawa agenda yang dinyatakan Umno sebelum ini.

Umno Perlis pernah mempunyai sejarah bertembung dengan keputusan kepimpinan pusat setelah sembilan Adun BN tidak menghadiri majlis mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Perlis pada tahun 2018.

Ini selepas, dilaporkan bahawa Umno Perlis tidak setuju dengan keputusan Umno pusat mencalonkan Azlan Man sebagai MB negeri.

Shahidan juga merupakan pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional di Dewan Rakyat walaupun BN dan Umno bukan anggota dalam gabungan PN. | MK