Rogol secara berkumpulan, empat lelaki, seorang remaja perempuan subahat ditahan

Rogol secara berkumpulan, empat lelaki, seorang remaja perempuan subahat ditahan

Empat lelaki termasuk seorang remaja bawah umur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di atas pertuduhan merogol secara berkumpulan di Sungai Siput, dua minggu lalu.

Tertuduh, Muhammad Azeem Abdul Rahman, 20; Mohamad Arif Haiqal Arapin, 21, dan seorang rakan berusia 17 tahun 10 bulan didakwa merogol remaja perempuan berusia 15 tahun 11 bulan di sebuah rumah tidak bernombor di Taman Dovenby, Sungai Siput pada 14 Julai 2022.

Bagi kesalahan itu, ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara 10 hingga 30 tahun, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding di mahkamah sama, Afiq Yan Muhammad Farid, 20, turut didakwa merogol mangsa yang sama antara pukul 1 hingga 2 pagi di sebuah bilik di Jalan Felda Lasah, Kampung Pulau Mentimun, Sungai Siput pada pukul 12.01 hingga 2 pagi, 17 Julai 2022.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 10 hingga 30 tahun dan sebatan.

Bagaimanapun, kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Asmaniza Muhamad manakala Muhammad Azeem, Mohamad Arif Haiqal dan rakannya diwakili peguam S. Sundarajan manakala Navin Punj dan Mahajoth Singh pula mewakili Afiq Yan.

Hakim Ainul Shahrin membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap Muhammad Azeem dan Mohamad Arif Haiqal manakala rakan mereka diberi jamin RM5,000. Afiq Yan pula dikenakan jaminan sebanyak RM8,000.

Mahkamah menetapkan 2 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Terdahulu di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar, seorang remaja perempuan berusia 16 tahun didakwa atas dua pertuduhan bersubahat bagi kes rogol melibatkan mangsa sama.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Asyifa Redzuan.

Pendakwaan dikendalikan Nur Asmaniza manakala Navin Punj dan Mahajoth Singh mewakili tertuduh.

Mahkamah membenarkan remaja itu dijamin RM2,000 bagi setiap pertuduhan selain syarat tambahan tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan melapor diri di balai polis sekali pada setiap bulan.

Kes disebut semula pada 5 Ogos depan.

Menerusi laporan media semalam, Afiq Yan didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh kerana merogol mangsa yang berusia 15 tahun 11 bulan di sebuah hotel dalam daerah Ipoh pada pukul 12.30 pagi, 16 Julai 2022.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Norita Mohd. Ardani.