Empat beranak berdepan momen mendebarkan, makan malam bertukar tragedi

Empat beranak berdepan momen mendebarkan, makan malam bertukar tragedi.
Empat beranak berdepan momen mendebarkan selepas gas mudah alih untuk memasak ‘steamboat’ meletup dalam kejadian di sebuah restoran Alam Mesra, Kota Kinabalu.
Memetik laporan Sinar Harian, dalam kejadian 9 malam itu, Roberto Antoni, 28 dan isterinya, Wujon Maria Mae serta dua anak mereka cedera akibat terkena air panas dan letupan berkenaan.
Menurut Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9.06 malam.
Katanya, seramai 13 anggota dikejarkan ke lokasi yang terletak kira-kira 11 kilometer dari BBP Lintas.
“Terdapat empat mangsa dilaporkan melecur terkena air panas dan ada juga yang terkena api.
“Dua mangsa kanak-kanak dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba di lokasi kejadian manakala dua lagi diberikan rawatan awal oleh pasukan perubatan sebelum dihantar ke hospital menggunakan ambulans,” ujarnya.
Beliau berkata, pasukan bomba seterusnya membuat pemeriksaan lanjut bagi mengelak sebarang bahaya lain di lokasi kejadian.
“Operasi terkawal pada jam 9.35 malam dan ditamatkan selepas semuanya berada dalam keadaan selamat,” katanya.