Elak tragedi hitam berulang, terima sebagai ahli, bukan calon PRU, Zaharin diberitahu

Elak tragedi hitam berulang, terima sebagai ahli, bukan calon PRU, Zaharin diberitahu

Elak tragedi hitam berulang, terima sebagai ahli, bukan calon PRU, Zaharin diberitahu. Tidak mudah bekas ahli Umno, Zaharin Yasin mewakili PKR untuk bertanding di Bandar Tun Razak selepas pengkhianatan yang dilakukan bekas pemimpin mereka, Kamarudin Jaffar dalam Langkah Sheraton, dua tahun lalu.

Kamarudin, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, antara 11 Ahli Parlimen PKR termasuk Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin yang keluar parti susulan Langkah Sheraton, menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang selepas 22 bulan mentadbir Putrajaya.

Bercakap kepada FMT, Ketua Bahagian PKR Bandar Tun Razak, Azman Abidin berkata pengkhianatan itu menyebabkan setiap cabang lebih berhati-hati menerima “calon luar” agar tragedi hitam itu tidak berulang.

Bagaimanapun, Azman berkata parti itu mengalu-alukan veteran Umno itu menyertai PKR, tetapi bukan sebagai calon mewakili mereka pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Dia nak jadi ahli parti kita tiada masalah tetapi kalau nak bertanding, kita ada lagi banyak calon lebih layak yang boleh mempertahankan kerusi kita.

“(Bagi) seluruh cabang yang terlibat dalam Langkah Sheraton, pengkhianatan ini bukan saja membuatkan kita lebih berhati-hati tetapi kita akan pastikan tiada lagi pengkhianatan,” katanya.

Beliau mengulas dakwaan Zaharin bahawa beberapa pemimpin dan rakan dalam PKR memaklumkan kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk mencadangkan namanya bertanding di Parlimen Bandar Tun Razak.

“Jika saya bertanding atas tiket PH (Pakatan Harapan), melalui PKR, saya boleh menang kerana saya mempunyai ramai pengikut di Bandar Tun Razak,” kata Zaharin di Facebooknya.

Tambah Azman, PKR Bandar Tun Razak mempunyai calon lebih layak berbanding blogger berkenaan yang dipecat dari Umno, Jumaat lalu.

“Selama ini tiada Zaharin pun kita menang tiga penggal, dan undi kita meningkat. Jadi nak kekalkan kemenangan itu tiada masalah.

“Tak mudah dia terus kena pecat, kita bagi dia kerusi (Parlimen). Kita kena ambil pandangan akar umbi,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sudah menghantar tiga nama untuk dipertimbang pucuk pimpinan sebagai calon pada PRU15, dan menyerahkan kepada Anwar untuk membuat pertimbangan sewajarnya.

“Cabang dah bagi tiga nama kepada pucuk pimpinan tetapi kalau Presiden (Anwar) kata nak bagi laluan dekat Zaharin itu kita tak boleh buat apa lah,” katanya.

Pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Jumaat lalu, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan memaklumkan pemecatan Zaharin yang juga Ketua Cawangan Umno Projek Perumahan Awam (PPA) Sri Labuan daripada parti. Pemecatan Zaharin dilihat berkait tindakannya yang lantang menentang pemimpin parti sendiri.