Elak pesta air ketika banjir

Elak pesta air ketika banjir

Rantau Panjang: Elakkan ‘pesta air’ jika banjir melanda. Itu nasihat Jabatan Bomba dan Penyelamat kepada masyarakat di daerah ini bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Ketua Balai Bomba Rantau Panjang, Imran Ismail berkata, ia bukan sahaja membahayakan diri, tetapi boleh mendedahkan diri kepada jangkitan penyakit.

“Saya juga berharap jika banjir melanda, elakkan berlaku ‘pesta air’ kerana kita tidak mahu ada yang berkumpul semata-mata mahu bersuka ria bermain banjir,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dalam pada itu, paras air Sungai Golok menunjukkan trend menurun apabila mencatatkan bacaan 7.84 meter setakat jam 5 petang, hari ini.

Ia sekali gus berada di tahap waspada, berbanding melebihi paras bahaya iaitu 8.03 meter pagi tadi.

Imran berkata, keadaan itu berlaku kerana taburan hujan tidak lebat di daerah terbabit termasuk aliran air sungai dari hulu yang tidak banyak.

“Sungai Golok biasanya mula melimpah kerana faktor hujan lebat tanpa henti serta aliran air dari hulu Sungai Golok di Kampung Jedok, Tanah Merah. Jadi kemungkinan besar, hujan di kawasan hulu sungai juga tidak lebat hari ini.

“Namun begitu, paras air sungai boleh kembali meningkat bila-bila masa sahaja jika taburan hujan malam ini meningkat, justeru saya nasihatkan semua penduduk terutama berdekatan sungai untuk sentiasa berwaspada.

“Kita tidak melihat trend air yang menurun ini sebagai satu kelegaan kerana arus air juga masih deras dan membahayakan selain ia biasa berlaku sebelum paras sungai golok mencapai paras bahaya seterusnya mengakibatkan banjir,” katanya.

Rekod paras air Sungai Golok menunjukkan tahap waspada pada bacaan tujuh meter, manakala amaran pula lapan meter diikuti paras bahaya sebanyak sembilan meter.

Imran turut menasihatkan penduduk setempat untuk bersiap sedia mengemas barangan di rumah termasuk menyimpan dokumen penting di tempat selamat kerana khuatir jika banjir melanda bila-bila masa sahaja

“Walaupun kita sedang bersedia menghadapi banjir jangan sesekali lupa untuk menjaga prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan wabak pendemik Covid-19,” katanya.

Sumber : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/11/646400/elak-pesta-air-ketika-banjir