Elak ikut arahan politik, SPRM tidak perlu letak dibawah Parlimen, kata Azam

Elak ikut arahan politik, SPRM tidak perlu letak dibawah Parlimen, kata Azam

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudahpun menjadi sebuah institusi bebas dan tidak perlu diletakkan di bawah Parlimen semata-mata untuk ketelusan, kata ketua pesuruhjayanya, Azam Baki.

Beliau berkata, SPRM dalam bentuknya sekarang, harus dipertahankan kerana dapat menyiasat sesiapa yang dikehendakinya, tanpa perlu meminta kebenaran sesiapa.

“Jika kita meletakkan SPRM di bawah Parlimen, saya menjangkakan akan berlaku kemungkinan SPRM terpaksa mengikut arahan prosedur tertentu yang ditetapkan oleh orang politik, sedangkan ada pihak mahu kita perlu bebas daripada tekanan politik.

“Sebelum ini, saya pernah mendapat mesej daripada seorang menteri kanan yang bertanyakan adakah SPRM sedang menyiasat beliau. Saya cuma balas ‘Ya, terima kasih’, setakat itu sahaja,” katanya.

Beliau memberi contoh ini ketika membandingkan SPRM dengan badan antirasuah di negara lain, yang, dakwanya, memerlukan “kebenaran” daripada senat atau Parlimen mereka untuk menyiasat tokoh berprofil tinggi.

“Saya tak mahu namakan mana-mana negara yang meletakkan badan antirasuah di bawah Parlimen atau senat, mereka perlu mendapatkan kebenaran daripada Parlimen sebelum memulakan sesuatu siasatan,” katanya.

Azam berkata, apabila isu lejar Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) timbul semasa perbicaraan rasuah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, beliau mengatakan SPRM tidak perlu bertanyakan sesiapa untuk menfailkan laporan kerana agensi itu telah mula menyiasat ke atas nama yang disebut.

“Dalam siasatan kes UKSB misalnya, ramai individu berprofil tinggi dinamakan, adakah saya perlu tanya mereka terlebih dahulu sebelum membuka kertas siasatan? Kita tidak pernah tanya dan ini menunjukkan kebebasan kita,” katanya ketika sesi dialog bersama media dalam program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media Zon Utara.

Daripada meletakkan SPRM di bawah Parlimen, Azam berkata, lebih baik tumpuan diberikan kepada tugas ketua pesuruhjaya supaya selamat daripada penyingkiran secara mengejut.

Beliau berkata, jawatan ketua pesuruhjaya sepatutnya mempunyai tempoh jaminan perkhidmatan dan sebarang penyingkiran hendaklah tertakluk kepada tribunal, sama seperti seorang hakim disingkirkan.

Beliau mengulangi bahawa SPRM sangat telus, dengan enam badan bebas memantaunya, termasuk Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) , untuk semak dan imbang.

Bagaimanapun tambahnya, “kami tetap terbuka jika penggubal undang-undang mahu membuat perubahan di Parlimen (menjejaskan SPRM)”.