DUN Johor tolak cadangan tubuh JK pilihan khas kaji enakmen antilompat parti

DUN Johor tolak cadangan tubuh JK pilihan khas kaji enakmen antilompat parti

Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini menolak rundingan mengenai cadangan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas bagi menjalankan kajian dan cadangan terhadap Enakmen Anti-Lompat Parti.

Speaker DUN Johor Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi  berkata rundingan itu tidak dipersetujui selepas undian dijalankan semasa Mesyuarat Ketiga Persidangan Pertama DUN ke-15 di Iskandar Puteri hari ini.

Beliau berkata 37 Ahli DUN (Adun) daripada kerajaan tidak bersetuju dengan cadangan itu manakala 13 Adun pembangkang bersetuju, dua tidak mengundi dan tiga lagi tidak hadir semasa undian.

Rundingan mengenai cadangan itu dibawa oleh Adun Skudai Marina Ibrahim dan disokong oleh Chiong Sen Sern (Bukit Batu) sebelum dibahaskan dua wakil kerajaan iaitu Anuar Abd Manap (Pemanis) serta Datuk Sharifah Azizah Syed Zain (Mahkota) selain dua wakil pembangkang iaitu Chiong dan Amira Aisya Abd Aziz (Puteri Wangsa).

Terdahulu, Anuar berkata Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti telahpun lengkap tanpa perlu membuang masa untuk dikaji justeru tiada keperluan untuk menubuhkan jawatankuasa.

Beliau berkata fakta menunjukkan pelbagai pihak telah melakukan kajian secara komprehensif dalam penghasilan peruntukan undang-undang larangan lompat parti sebelum terhasilnya RUU itu.

“Sekiranya Ahli-Ahli Yang Berhormat di sebelah sana memahami inti pati larangan lompat parti yang telah dihasilkan berdasarkan kajian lengkap oleh pelbagai pihak, ia dinyatakan dengan jelas di bawah Seksyen 6 Akta ini (RUU Anti-Lompat Parti).

“Sebagai pembuat dasar, maka eloklah jika kita benar-benar memahami perjalanan RUU ini. Jangan pula selepas ini di luar dewan kata Adun Barisan Nasional menolak RUU ini. Kita tak tolak RUU… yang kita tak setuju ialah rundingan untuk tubuh jawatankuasa kaji dan cadangan ini sahaja.

“… (dan) jangan kerana ketandusan isu menjelang pilihan raya umum akan datang maka masa Dewan yang mulia ini dibazirkan untuk membawa rundingan berkaitan RUU yang sudah terbentang lengkap yang hanya menunggu untuk dimasukkan dalam Undang-Undang Tubuh Negeri,” katanya.

Sementara itu, Chiong berkata adalah penting bagi ahli politik untuk menghormati dan mengiktiraf mandat rakyat, bukan melompat parti.

“Ia untuk kepentingan pengundi. Negara kita tidak boleh melalui apa berlaku selepas pilihan raya umum lepas. Katak politik mencemarkan imej negara. Negara kita tidak memerlukan ahli politik mementingkan diri sendiri yang mendahulukan kepentingan mereka sebelum kepentingan pengundi,” katanya.

RUU itu diluluskan di Dewan Rakyat pada 28 Julai lepas dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 31 Ogos.

Ia kemudian diwartakan pada 6 Sept dan dikenali sebagai Akta Pindaan Perlembagaan (No.3) 2022 [Akta A1663], dan kini menunggu perkenan Majlis Raja-Raja sebelum tarikh Seksyen 6 ini dikuatkuasakan.

Persidangan ditangguhkan hari ini sehingga ke suatu tarikh yang akan diberitahu kelak.

Sementara itu, Barisan Nasional (BN) Johor menyifatkan tiada keperluan untuk menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas peringkat negeri bagi menjalankan kajian mengenai Enakmen Anti-Lompat Parti selepas Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti diluluskan di Dewan Rakyat pada Julai lepas.

Pengerusinya Datuk Hasni Mohammad (gambar, atas) berkata semua pihak di peringkat parti termasuk blok pembangkang juga telah mengadakan perbincangan bagi memahami isi kandungan enakmen itu serta mendapat maklum balas daripada pucuk pimpinan serta pandangan pelbagai pihak.

“BN Johor merasakan pembentangan rang undang-undang itu di Parlimen telah melalui proses yang menyeluruh dan komprehensif, pelbagai pindaan dan masa sepenuhnya diberikan pelbagai pihak untuk meneliti pelaksanaan enakmen ini.

“Jadi, saya tak faham kenapa perlu ada jawatankuasa khas sedangkan di peringkat awal penggubalannya telah melibatkan semua pihak termasuk peringkat negeri, yang melihat dari sudut Perlembagaan serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri,” katanya kepada pemberita di Iskandar Puteri semalam.