Dulu menyolek kini ‘main asap’

BIASANYA Disember boleh dikatakan antara bulan paling sibuk buat Nuur Fatehah A Razak, 28, yang juga jurusolek sambilan apabila menerima tempahan daripada pasangan yang ingin melangsungkan hari bahagia mereka ketika musim cuti persekolahan.
Namun tahun ini, wanita kelahiran Felcra Sri Wangi, Batu Pahat Johor itu berdepan situasi berbeza apabila tempahan untuk mendandan bakal pengantin tidak dapat disempurnakan.
Ia berikutan kebimbangan ramai pasangan dan tidak lagi meneruskan majlis persandingan atau kenduri mereka kerana penularan pandemik Covid-19.
“Disember antara bulan paling sibuk kerana banyak majlis perkahwinan berlangsung ketika itu dan saya biasanya sudah ‘ditempah’ seawal September lagi untuk menyolek pengantin. Hujung minggu saya dipenuhi dengan dua hingga tiga slot tempahan untuk menyolek pengantin atau mereka yang mahu bertunang.
“Tetapi, tahun ini paling sepi dan banyak tempahan dibatalkan kerana pengantin tidak meneruskan majlis mereka. Itu sudah saya sedia maklum sejak penularan Covid-19 selain dan kes melonjak kembali sejak Ogos sehingga hari ini,” katanya.
Menurut Nuur Fatehah, bidang solekan adalah punca pendapatannya selama ini dan kerjaya serius itu bermula sejak 2015.
“Pembabitan saya sebagai jurusolek sebenarnya bermula lebih awal iaitu sejak belajar di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Pulau Pinang dan kawan kuliah adalah pelanggan. Saya mendapat tempahan orang luar apabila saya kongsikan hasil solekan di platform media sosial.
“Waktu itu solekan saya lebih ringkas dan hanya untuk majlis graduasi atau jamuan tahunan. Apabila tamat pengajian dan bekerja dengan syarikat produk kecantikan serta penjagaan diri, saya jadi lebih serius dan sentiasa perbaiki skil solekan.
“Kemudian saya bergerak sendiri iaitu menjadi jurusolek sepenuh masa apabila mengikut suami berpindah ke Melaka. Selepas berkahwin, saya bergerak lebih berani apabila mula menawarkan perkhidmatan solekan kepada pengantin pula,” katanya.
Tambah Nuur Fatehah, khidmatnya ditawarkan kepada pelanggan bermula dengan kadar RM80 hingga RM250 bergantung jenis solekan.
“Di Batu Pahat boleh dikatakan kadar harga saya tawarkan untuk solekan pengantin antara paling berpatutan dan sejak dua tahun lalu ramai pengantin di sekitar bandar ini mendapatkan khidmat saya.
“Atas sebab itu juga, saya sering sibuk dengan menjelang musim orang kahwin dan pendapatan bulanan saya ketika itu lebih RM1,500 sebulan,” katanya.
Hikmah di sebalik pandemik itu, kini Nuur Fatehah menceburi peniagaan makanan menerusi jualan sate bersama bapanya, A Razak A Rahman, 63, sejak September lalu.
Menariknya wanita itu adalah lepasan Diploma Kulinari dan mempunyai kemahiran dalam penyediaan sajian barat dan Itali.
“Sejak pendapatan daripada solekan terjejas teruk sehingga Ogos lalu, pada September lalu saya memutuskan untuk ubah model peniagaan kepada makanan. Saya ambil langkah berani termasuk menyewa ruang niaga di kedai makanan bersama seorang lagi rakan yang menjual makanan lain.
“Memang drastik sebab sebelum ini saya menyolek pengantin, tetapi kini terpaksa bermain dengan ‘api dan asap’ untuk mencari pendapatan lain,” katanya yang tidak terfikir langsung untuk menceburi perniagaan makanan meskipun menpunyai kelulusan dalam bidang itu.
Kini perniagaan sate itu terpaksa dilakukan di rumah dan menggunakan kaedah ‘COD’ disebabkan kenaikan kembali jumlah kes Covid-19 sejak Oktober lalu.
“Satu lagi cabaran apabila perniagaan sate saya ini mula mendapat sambutan terpaksa ‘tutup’ kedai sementara kerana Batu Pahat antara daerah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada Oktober lalu.
“Masa kedai dibuka dahulu, jualan sate boleh mencecah 1,000 cucuk sehari dan kini jumlah jualan sekitar 400 ke 500 cucuk sehari bergantung tempahan,” katanya.
Meskipun kerjaya baharu itu memenatkan, kata Nuur Fatehah, dia gembira apabila rata-rata memberi komen positif dengan resipi sate diperoleh menerusi kenalan bapanya.
“Memang wanita jarang membakar sate sebabkan bahang api terlalu panas dan perlu kekuatan tangan untuk mengipas dalam tempoh lama. Tetapi, saya mahu rasa sendiri dan tidak kisah berdepan panas.
“Pada saya ia suatu pengalaman dan skil penting sebelum saya hendak pergi lebih jauh termasuk membuka kedai makan suatu hari nanti,” katanya.
Dalam pada itu, cabaran cukup besar dalam peniagaan makanan apabila dia perlu memastikan rasa dan kualiti konsisten setiap kali sajian itu dihantar kepada pelanggan.
“Antara cabaran dalam industri makanan ialah mengekalkan kualiti dan rasa supaya sentiasa sama serta terjaga. Kalau bahan atau rempah tersilap ‘ukuran,’ rasa akan berubah dan pelanggan akan komen atau lari,” katanya.
Dia memulakan perniagaan sate terbabit dengan bajet RM500 menerusi wang simpanan dan suntikan modal daripada bapanya.
Tambah Nuur Fatehah, dia bersyukur mendapat sokongan penuh suami tercinta, M Azinuddin Faiz Jemain, 28, dan keluarga bagi memulakan perniagaan sate berkenaan.
Sumber : https://www.hmetro.com.my/WM/2020/12/651128/dulu-menyolek-kini-main-asap