Dugaan Abdul Raihan terlalu berat

Kuala Lumpur: Bapa dua anak, Abdul Rahim Razak kini buntu memikirkan cara mendapatkan wang bagi menanggung kos perbelanjaan anak bongsunya, Abdul Raihan yang menderita pelbagai penyakit sejak lahir.
Penyakit dihidapi bayi berusia 11 bulan itu adalah tiroid, masalah pundi kencing, tiada lubang dubur, tulang belakang bengkok dan dilahirkan dengan sebelah buah pinggang saja yang berfungsi.
Abdul Rahim, 27, yang menetap di Kampung Pak Madah, Bukit Payong, Terengganu berkata, dia menyara keluarga dengan bekerja sebagai kelindan lori sebelum ini.
Namun, sudah tiga bulan dia tidak dipanggil bekerja oleh majikan kerana jumlah kelindan yang dikurangkan dan keadaan itu menyebabkannya hilang mata pencarian.
“Anak saya dilahirkan pramatang iaitu ketika kandungan isteri (Nurul Suhada Che Mahmud, 26) berusia 33 minggu.
“Sewaktu kandungan isteri berusia tujuh bulan, doktor memaklumkan bayi di dalam perut mengalami masalah pada bahagian pusat.
“Namun, hanya itu maklumat yang diberitahu ketika itu dan apabila Abdul Raihan dilahirkan, keadaannya tidak seperti bayi normal kerana ususnya di luar perut manakala salah satu buah pinggangnya gagal berfungsi selain mengalami penyakit lain,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Berikutan ketiadaan dubur dan pundi kencing bermasalah, bahagian perut Abdul Raihan ditebuk bagi membolehkannya membuang najis.
Menurutnya, biarpun ada masalah kesihatan, anaknya itu tidak banyak meragam malah tiada halangan untuk minum susu seperti biasa.
Namun, Abdul Rahim berkata, Abdul Raihan mudah demam dan ada kalanya mengalami batuk berkahak.
“Khamis ini, saya akan membawa Abdul Raihan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk pemeriksaan lanjut.
“Temujanji itu bagi mengetahui rawatan seterusnya buat anak saya kerana doktor sebelum ini memberitahu Abdul Raihan perlu menjalani pembedahan pundi kencing.
“Cuma, belum ada kata putus pembedahan itu akan dijalankan oleh pakar di HSNZ atau Hospital Kuala Lumpur (HKL) serta kosnya” katanya.
Abdul Rahim berkata, buat masa ini, dia sedikit lega kerana hanya perlu membayar RM50 untuk sewa bulan rumah manakala selebihnya iaitu RM300 lagi dilangsaikan dengan bantuan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu.
“Namun, lain-lain perbelanjaan seperti susu, lampin pakai buang, serbuk stoma, kapas ,cecair luka dan gauze perlu ditanggung sendiri.
“Saya ada juga berikhtiar cari pekerjaan lain tetapi belum berhasil. Mujurlah ayah saya ada membantu tetapi hanya yang termampu kerana dia sekadar mengambil upah sebagai tukang urut.
“Sebagai bapa, saya tidak akan berputus asa untuk terus berikhtiar dan kini,dalam proses memohon status Orang Kurang Upaya (OKU) buat Abdul Raihan,” katanya.
Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menghulurkan menghubungi Abdul Rahim di talian 014-8242823.
Sumber berita : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/11/642894/beratnya-dugaanmu-abdul-raihan