Dua wanita hamil didakwa jual emas palsu

Dua wanita hamil didakwa jual emas palsu

Dua bekas kakitangan Ar Rahnu Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) Cawangan Gemas dihadapkan ke Mahkamah Seksyen di sini hari ini atas pertuduhan menjual emas palsu tahun lalu.

Tertuduh Noradila Mohd Zukri, 33, dan Nurhidayu Rosli, 26, masing-masing sedang mengandung tujuh dan lapan bulan bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas sembilan pertuduhan menipu Koperasi YaPEIM melibatkan transaksi RM174,578.

Mereka membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Norma Ismail.

Antara pertuduhan, mereka didakwa memajak gadai seutas rantai tangan palsu seberat 163.51 gram (g) dengan nilai pembiayaan RM32,832 antara pukul 10 pagi hingga 5 petang pada 16 Oktober 2020.

Mereka turut didakwa menjual seutas rantai leher palsu seberat 89 g dan gelang tangan (67 g) masing-masing bernilai RM17,586 dan RM13,239 antara pukul 10 pagi hingga 5 petang pada 12 November 2020.

Kesemua barangan itu didakwa dilakukan di YaPEIM Cawangan Gemas dan dijual kepada Koperasi YaPEIM mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun, denda dan sebat jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang diwakili peguam Mohamad Kamarulzaman Jusoh dibenarkan diikat jamin sebanyak RM15,000 seorang sementara menunggu sebutan semula kes 26 April ini.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Atiqah Sapari. -K! ONLINE