Dua pegawai Imigresen didakwa 33 pertuduhan rasuah

Dua pegawai Imigresen didakwa 33 pertuduhan rasuah

KOTA BHARU – Dua pegawai Jabatan Imigresen Malaysia didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 33 pertuduhan menerima rasuah bernilai lebih RM154,000 sejak dua tahun lalu.

Tertuduh pertama, Mohamad Hariss Rosli, 27, didakwa sebanyak 31 pertuduhan rasuah membabitkan nilai RM152,940 dan mengaku bersalah atas tuduhan pertama sehingga ke-18.

Bagi pertuduhan ke-19 hingga ke-31, tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Zaman Mohd Noor.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bertugas sebagai pegawai Jabatan Imigresen Malaysia di Johor memperoleh suatu benda berharga tanpa suatu balasan daripada beberapa individu yang diketahui mempunyai hubungan kerja rasminya sebanyak RM152,940.

Kesalahan itu dilakukan oleh Mohamad Hariss menerusi akaun Maybank miliknya yang beralamat di Jalan Mahmood di sini sepanjang tempoh April 2018 hingga November 2019.

Bagi kesemua pertuduhan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan jika sabit kesalahan.

Sementara itu, tertuduh kedua, Fasmawi Ab. Wahab, 24, mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan menerima suapan bernilai RM1,400 pada Februari dan Mac 2019.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga bekerja di tempat sama dengan Mohamad Hariss didakwa memperoleh satu benda yang berharga tanpa suatu balasan berjumlah RM1,400 daripada seorang individu yang mempunyai hubungan kerja rasmi.

Perbuatan itu dilakukan olehnya menerusi akaun Maybank Islamic beralamat di Tumpat pada 26 Februari dan 1 Mac 2019.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norhamizah Ghazali manakal kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Zaman tidak membenarkan sebarang ikat jamin diberikan kepada kedua-dua tertuduh selain menetapkan 22 Disember depan sebagai tarikh fakta dan hukuman untuk mereka.

Sumber : https://www.kosmo.com.my/2020/12/14/dua-pegawai-imigresen-didakwa-33-pertuduhan-rasuah/