‘Draf penghakiman’ percubaan pengaruhi badan kehakiman, kata peguam Rosmah

‘Draf penghakiman’ percubaan pengaruhi badan kehakiman, kata peguam Rosmah

Pasukan guaman Rosmah Mansor memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa “draf penghakiman”, yang dibocorkan baru-baru ini, berhubung kes rasuahnya dibuat oleh pihak yang “cuba mempengaruhi badan kehakiman”.

Jagjit Singh

Menurut peguam mewakili Rosmah, Jagjit Singh, dokumen yang menimbulkan syak wasangka itu disediakan oleh seseorang atau lebih yang tidak mempunyai kuasa.

“Ia kelihatan seperti draf penghakiman yang nyata,” tambahnya.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan kemudian bertanya kepada Jagjit sama ada beliau “mencadangkan” bahawa hakim akan menggunakan dokumen yang dibocorkan oleh penulis blog Raja Petra Kamarudin itu sebagai penghakiman muktamadnya.

Jagjit membalas dengan berkata, itu bukan maksudnya.

“Itulah sebabnya kami mengatakan bahawa wujud bahaya sebenar berlakunya berat sebelah.”

Rosmah memohon agar Zaini menarik diri daripada mendengar kesnya susulan penyiaran “draf penghakiman” itu oleh Raja Petra minggu lepas.

Dia mendakwa, dokumen itu bukan disediakan oleh Zaini, tetapi oleh “pihak ketiga”.

Tambahnya, dia hilang keyakinan terhadap hakim untuk memutuskan kes rasuahnya disebabkan dokumen itu.