Dr M lindungi Muhyiddin daripada didakwa, kata pemimpin Umno

Dr M lindungi Muhyiddin daripada didakwa, kata pemimpin Umno

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Razlan Rafii mendakwa berlaku pendakwaan terpilih ketika pentadbiran Mahathir Mohamad, susulan laporan Muhyiddin Yassin dikatakan menerima dana daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Razlan Rafii

“Hari ini terbukti sudah kamu melepaskan Muhyiddin daripada didakwa kerana beliau adalah sekutu kamu, bukan keadilan yang dicari, tapi dendam yang menjadi keutamaan (terhadap Umno),” katanya dalam kenyataan.

Razlan berkata, Muhyiddin sepatutnya menghadapi tuduhan sama seperti Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, atau sekurang-kurangnya menjawab dakwaan itu di mahkamah.

Katanya, Mahathir yang merupakan perdana menteri ketika itu, akan tahu Muhyiddin menerima wang daripada UKSB dan bekas peguam negara, Tommy Thomas juga akan tahu bukti kes itu serta mengetahui siapa terbabit.

“Hari ini, Zahid terpaksa membuktikan diri beliau di mahkamah, terpaksa berhadapan dengan cercaan masyarakat, tapi watak yang menuduh beliau dengan pelbagai hinaan, tersenyum menjawab di media.”

Ini menyusul keterangan bekas pengurus pentadbiran UKSB, David Tan memberitahu Mahkamah Tinggi dalam perbicaraan rasuah Zahid semalam bahawa Muhyiddin dan Shafie Apdal antara pemimpin kerajaan yang menerima wang daripada syarikat itu.

Tan dilaporkan berkata, bekas perdana menteri itu menerima RM1.3 juta daripada UKSB antara Jun dan Ogos 2018.

Ketika itu, Muhyiddin adalah menteri dalam negeri di bawah pentadbiran Pakatan Harapan, manakala Shafie merupakan ketua menteri Sabah.

UKSB adalah syarikat yang mengendalikan sistem visa luar negara (VLN) untuk pelancong China. Mereka dilantik oleh kerajaan pada 2016.

Zahid berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SGD13.56 juta (RM42 juta) daripada UKSB untuk dirinya selaku menteri dalam negeri bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Hentian Setempat di China dan sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh Kementerian Dalam Negeri.