Doktor guna rakan jadi ‘ejen’ cari individu dapatkan sijil vaksin

Doktor guna rakan jadi ‘ejen’ cari individu dapatkan sijil vaksin

Menjadikan rakan-rakan sebagai ejen antara taktik yang dipercayai digunakan seorang doktor untuk mencari individu yang berhasrat mendapatkan sijil palsu vaksinasi Covid-19 palsu di Terengganu.

Ketua Polis Terengganu Rohaimi Md Isa berkata susulan itu seramai enam individu berusia antara 35 dan 57 tahun yang disyaki menjadi ejen doktor terbabit ditahan di sekitar Marang, Dungun dan Kuala Terengganu pada Ahad lalu bagi membantu siasatan.

“Mereka bukan kakitangan klinik tapi lebih kepada kawan-kawan.

“Ejen ini mencari orang untuk divaksin di klinik suspek. Mereka ditahan semalam dan dibebaskan dengan jaminan polis selepas selesai keterangannya diambil,” katanya kepada Bernama malam tadi.

Rohaimi berkata ejen tersebut dibayar serendah RM50, manakala bayaran dikenakan untuk mendapatkan sijil palsu vaksinasi itu ialah antara RM400 hingga RM600 bagi setiap pelanggan.

Terdahulu dalam sidang media pagi semalam Rohaimi berkata doktor lelaki berusia 51 tahun itu dipercayai melakukan kegiatan tersebut secara bersendirian di dalam bilik rawatannya dan tidak dibantu kakitangan klinik.

Sabtu lepas, doktor yang mendakwa dirinya antivaksin itu ditahan di sebuah klinik swasta di Marang, selepas disyaki mengeluarkan sijil suntikan vaksin Covid-19.

Menurut Rohaimi siasatan awal mendapati seramai 1,900 individu telah berurusan dengan klinik tersebut untuk tujuan vaksinasi, namun daripada jumlah itu pihaknya masih menyiasat angka sebenar individu yang mendapat sijil palsu vaksinasi.

– Bernama