Dituduh ada hubungan sulit wanita dibelasah hingga pengsan

Dituduh ada hubungan sulit wanita dibelasah hingga pengsan

Dituduh ada hubungan sulit wanita dibelasah hingga pengsan.

Seorang isteri di India dibelasah secara terbuka selepas dituduh mempunyai hubungan sulit sebelum dipaksa berkahwin dengan kekasih gelapnya, lapor akhbar Daily Star semalam.

Dalam kejadian itu di negeri Bengal Barat pada Sabtu lalu, mangsa dipukul oleh 15 lelaki sehingga dia tidak sedarkan diri.

Dituduh ada hubungan sulit wanita dibelasah hingga pengsan

Wanita itu memberitahu wartawan bahawa suaminya mengetuai kumpulan lelaki tersebut dan membelasahnya di sebuah kawasan sawah padi selepas menuduh dia mempunyai hubungan sulit.

Lelaki yang disyaki sebagai kekasih wanita itu turut dipukul.

Sebuah video yang tersebar di media sosial menunjukkan mangsa dikelilingi oleh penduduk kampung sejurus selepas sedar daripada pengsan.

Penduduk kampung memaksa mangsa untuk bertukar kalungan bunga dengan lelaki yang dituduh sebagai kekasih gelapnya sebagai simbolik kepada perkahwinan sambil mereka membuat bunyi bising.

Turut dilihat adalah sebilangan golongan muda yang menggesa suami mangsa untuk meletakkan vermilion pada dahi wanita itu.

Sementara itu, suami mangsa dilaporkan membuat pengakuan kepada media tempatan bahawa dia dan ahli keluarga membelasah isterinya kerana mempunyai hubungan sulit dengan seorang lelaki yang juga berasal dari kampung sama.

“Selepas kejadian, saya membawanya (isteri) ke hospital Teliamura untuk mendapatkan rawatan dan saya turut bermalam di sana. Pihak polis ada datang ke rumah saya,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Polis Bahagian Teliamura, Sonacharan Jamatia memberitahu agensi berita Press Trust of India bahawa pihaknya akan menghantar pasukan untuk menemui mangsa bagi mengetahui mengenai punca kejadian.

“Polis belum menerima sebarang aduan, namun kami akan menyiasat insiden itu,” ujarnya.