Disyaki terlibat dadah, dua lelaki maut berbalas tembakan dengan polis

Disyaki terlibat dadah, dua lelaki maut berbalas tembakan dengan polis

Disyaki terlibat dadah, dua lelaki maut berbalas tembakan dengan polis.

Dua lelaki disyaki terlibat kes dadah dan jenayah, terbunuh dalam kejadian tembak-menembak dengan pihak polis di Kampung Simpang Tokku, di sini, pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, Wan Rukman Wan Hassan berkata, dalam insiden kira-kira 11.30 pagi tadi, kedua-dua lelaki itu yang menaiki kereta Honda Civic berwarna kuning, melarikan diri ketika ditahan pasukan daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu dan JSJ Bukit Aman yang sedang melakukan rondaan Ops Kesan.

“Apabila pihak polis meminta suspek memberhentikan kenderaan, suspek telah melarikan diri dengan kenderaan tersebut. Apabila sampai di satu kawasan dari Wakaf Beruas ke Persimpangan Tok Ku, polis berjaya menghalang mereka dan secara tiba-tiba, salah seorang daripada mereka melepaskan satu das tembakan ke arah polis,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

 

Turut baca

 

Wan Rukman berkata, susulan itu pihaknya terpaksa membalas tembakan ke arah kedua-dua lelaki berkenaan, sebelum seorang daripada mereka melarikan diri dan bersembunyi di sebuah rumah kosong berhampiran.

Katanya, suspek yang melarikan diri itu berjaya dikepung, namun dia enggan menyerah diri menyebabkan polis mengambil tindakan memasuki rumah tersebut.

“Semasa di dalam rumah, suspek telah melepaskan satu das tembakan. Nasib baik terkena penghadang atau shield yang dibawa polis dan di situlah berlaku satu lagi kejadian tembak-menembak antara polis dan suspek,” katanya.

Wan Rukman berkata, lelaki itu terbunuh di dalam rumah tersebut, manakala seorang lagi rakannya maut dalam kenderaan dinaikinya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek dipercayai warga tempatan dan maklumat lanjut mengenai mereka masih disiasat.

Katanya, tiada anggota polis mengalami kecederaan dalam insiden tersebut.

 

Tonton juga