Dilihat lebih cenderung kepada Umno, Khairuddin dipecat sebagai AJK PAS

Dilihat lebih cenderung kepada Umno, Khairuddin dipecat sebagai AJK PAS

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang hari ini mengesahkan jawatan Mohd Khairuddin Razali sebagai ahli jawatankuasa (AJK) PAS digugurkan.

Pemecatan itu dibuat tidak sampai dua bulan dia dilantik ke jawatan itu, setelah tewas dalam pemilihan pusat parti itu.

Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Marang, Terengganu, Abdul Hadi berkata pengguguran jawatan pemimpin dalam parti itu adalah amalan biasa.

“Itu biasa dalam parti, tak terpilih dalam muktamar, diberhentikan atau ditukar itu, biasa,” katanya.

Abdul Hadi berkata demikian mengulas laporan PAS menggugurkan Mohd Khairuddin sebagai AJK PAS.

Bagaimanapun, ketika diminta mengulas punca sebenar bekas menteri perusahaan, perladangan dan komoditi itu, Abdul Hadi enggan mengulas lanjut.

“Perkara itu diuruskan oleh setiausaha agung parti.

“Bagaimanapun, mesti ada alasan-alasan yang dikemukakan parti, siapa yang tak ikut disiplin dia boleh dinasihatkan dan boleh ditukar jawatan dia, ditugaskan ke (posisi) lain dan diganttung keahlian atau pun dipecat

“Itu tertakluk kepada parti,” katanya.

Tambah Abdul Hadi, keputusan pengguguran Mohd Khairuddin itu dibuat parti pada mesyuarat yang diadakan kelmarin di ibu pejabat parti itu, di Kuala Lumpur.

Pada 23 November lalu, Mohd Khairuddin merupakan antara tiga pemimpin tertinggi PAS yang dilantik semula sebagai AJK PAS bagi sesi 2021-2023 selepas tewas dalam pemilihan parti di samping Dr Mohd Zuhdi Marzuki dan Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Khairuddin sebelum ini dilantik ke jawatan itu bersama bekas ketua Pemuda PAS Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan Mohd Zuhdi Marsuki, setiausaha politik Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man.

Ketiga-tiga mereka dilihat sebagai pimpinan PAS yang lebih cenderung terhadap kerjasama politik dengan Umno berbanding Bersatu.

PAS setakat ini mahu menjalinkan kersama dengan kedua-dua parti itu, walaupun Umno dilihat sudah berkerat rotan berpatah arang dengan Bersatu, yang menyaksikan Muhyiddin Yassin diturunkan daripada jawatan perdana menteri.

Sumber | MK

COMMENTS