Dilibas guna penyapu, batang besi, kayu mimbar… “Pihak sekolah tak maklumkan anak saya dibuli”

Dilibas guna penyapu, batang besi, kayu mimbar… “Pihak sekolah tak maklumkan anak saya dibuli”

Dilibas guna penyapu, batang besi, kayu mimbar… “Pihak sekolah tak maklumkan anak saya dibuli”.

Ibu bapa kepada pelajar mangsa buli di sebuah sekolah agama berasrama penuh di Nilai Negeri Sembilan, menggesa pihak pentadbiran sekolah mengambil tindakan drastik dalam menangani isu tersebut yang semakin menjadi-jadi.

Bapa kepada seorang mangsa Ahmad Fauzi Md Sood, 50, berkata tindakan buli dalam kalangan pelajar sekolah tersebut yang dianggap ‘normal’, seharusnya dihentikan segera oleh pihak sekolah.

 Dilibas guna penyapu, batang besi, kayu mimbar... "Pihak sekolah tak maklumkan anak saya dibuli"

“Kejadian buli yang menimpa anak saya berlaku dua hari lepas, iaitu pada pukul 11 malam di bilik asrama lelaki apabila pelajar tingkatan empat telah membuli secara kekerasan terhadap pelajar tingkatan dua.

“Pihak sekolah tidak memaklumkan terus masalah itu kepada ibu bapa, sebaliknya saya tahu daripada anak saya sendiri,” katanya dalam sidang media di Nilai.

Ahmad Fauzi berkata anak lelakinya itu cedera pada bahagian kaki setelah dilibas menggunakan penyapu, batang besi dan kayu mimbar oleh dua pelajar tingkatan empat.

Menurutnya kejadian itu juga menyebabkan anaknya mengalami semput dan trauma sehingga memberi kesan terhadap pembelajarannya.

Seorang lagi bapa pelajar mangsa buli, Nur Azmi Mohd Nor, 44, berkata pihak sekolah seolah-olah tidak peka dan sensitif dengan isu tersebut apabila cuba menyelesaikannya secara tertutup tanpa berbincang secara terbuka dengan ibu bapa.

“Setakat ini, tujuh laporan telah dibuat oleh ibu bapa pelajar yang terlibat dengan kejadian buli dan kesemua mangsa merupakan pelajar lelaki,” katanya sambil mengakui anaknya turut mengalami semput dan trauma akibat kejadian itu.

Semalam media melaporkan, Ketua Polis Daerah Nilai Supt Mohd Fazley Ab Rahman berkata pihaknya menerima tiga laporan daripada pelajar tingkatan dua di sebuah sekolah menengah agama berasrama penuh di Nilai, mendakwa dipukul senior mereka sehingga cedera.