‘Dikencing’ pasangan bergelar ‘doktor’, enam individu rugi lebih RM1 juta

‘Dikencing’ pasangan bergelar ‘doktor’, enam individu rugi lebih RM1 juta

‘Dikencing’ pasangan bergelar ‘doktor’, enam individu rugi lebih RM1 juta.

Seramai enam individu mendakwa kerugian lebih RM1 juta selepas ditipu pasangan suami isteri bergelar ‘doktor’ dalam pelaburan sarung tangan, tahun lalu.

Wakil kumpulan itu, Shaharizad Shahrul Asmawi, 39, berkata, dia bersama lima yang lain termasuk seorang suri rumah mengeluarkan modal sebanyak RM1.2 juta kepada pasangan suami isteri dari Selangor itu pada 26 Februari 2021.

SHAHARIZAD Shahrul Asmawi (tengah) bersama mangsa lain yang ditipu pasangan suami isteri bergelar ‘doktor’ dalam sidang akhbar di Ipoh

Katanya, berdasarkan perjanjian yang ditandatangani, pelaburan tersebut dibayar kembali beserta keuntungan dalam tempoh 40 hari.

“Penipuan itu bermula selepas mereka minta bantuan kami untuk suntik modal bagi tujuan pembekalan sarung tangan. Atas dasar kenal dan percaya, kami bantu dapatkan modal berjumlah RM1.2 juta.

“Bagaimanapun, sehingga bulan April kami belum menerima sebarang bayaran balik modal tersebut. Apabila ditanya, pelbagai alasan diberikan malah mereka juga gagal dihubungi,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, pasangan berkenaan juga pernah membuat perjanjian bersamanya dan rakan-rakan untuk melangsaikan hutang itu dengan memberikan cek, namun malangnya mereka diberikan cek tendang.

Bagaimanapun katanya, selepas didesak, pasangan berusia lingkungan 50 hingga 60 tahun itu telah membuat pembayaran melalui transaksi dalam talian berjumlah RM20,000 kepada setiap mangsa.

“Sejak lebih setahun lalu, hanya itu sahaja bayaran yang mereka lunaskan. Mereka kata tiada duit untuk bayar tetapi peliknya masih mampu membuka restoran mewah di Shah Alam dan butik perancang perkahwinan.

“Lebih menghairankan lagi, mereka ini berlagak seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Mereka masih berbelanja mewah dengan mengadakan parti dan aktiviti amal,” katanya.

Tambahnya, laporan polis telah dibuat ke atas pasangan itu di Perak dan Selangor bagi membolehkan tindakan lanjut diambil terhadap mereka..