Dikala kerajaan Selangor enggan beri kerjasama ECRL 3.0 tetap diteruskan

Dikala kerajaan Selangor enggan beri kerjasama ECRL 3.0 tetap diteruskan

Kementerian Pengangkutan bertegas tetap meneruskan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di sebalik ‘amaran’ kerajaan Selangor enggan memberikan kerjasama.

Menterinya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, beliau sudah banyak kali memberikan penjelasan dan menyifatkan kerajaan negeri itu dilihat sengaja mempolitikkan projek mega berkenaan.

“Saya tidak faham, kita sudah pun mengadakan 37 mesyuarat konsultasi sejak 25 Jun tahun lalu hingga semalam dengan 17 agensi di negeri itu, tetapi mereka hanya tahu bermain politik.

“Semua perkara malah telah diambil kira Kerajaan Persekutuan termasuk isu alam sekitar, impak sosial, dan terpulanglah jika Selangor masih berpolitik,” katanya dalam nada kesal ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan Majlis Tandatangan Nota Kerjasama Antara Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pengangkutan di sini hari ini.

Semalam, Exco Kerajaan Selangor, Datuk Teng Chang Kim menyelar Kerajaan Pusat kerana mengubah balik jajaran landasan kembali kepada asal dengan dinamakan sebagai ECRL 3.0.

Sambil menyifatkan tindakan berkenaan sebagai pembuli besar, beliau mendakwa kononnya kerajaan negeri tidak pernah diajak berbincang mengenai perubahan laluan yang dipersetujui.

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, pihaknya telah melakukan yang terbaik demi kepentingan negara dan tidak mahu lagi membuang masa lebih lapan bulan bertelagah mengenai isu itu.

“Kita tidak boleh menunggu lebih lama lagi kerana ia bukan sahaja menyebabkan kerugian RM1.25 juta sehari, bahkan memberi kesan rantaian bagi banyak pihak berkaitan,” katanya.

Namun beliau pada masa sama optimis, pihak agensi berkuasa di Selangor lebih bersifat profesional dan memberi kerjasama penuh dalam sesi perbincangan dengan kementerian tersebut, malah beliau berkeyakinan, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari akan bekerjasama menjayakan projek itu yang bakal moriah manfaat besar kepada impak ekonomi negeri. – K! ONLINE

COMMENTS