Dijadikan semua kakitangan awam kontrak sebagai tetap selain doktor, kata CUEPACS

Dijadikan semua kakitangan awam kontrak sebagai tetap selain doktor, kata CUEPACS

Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mahu kerajaan turut menyerap kakitangan awam kontrak lain selain doktor ke jawatan tetap.

Ini susulan kenyataan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin baru-baru ini yang menyatakan bahawa Jemaah Menteri akan membincangkan rayuan doktor kontrak untuk dilantik ke jawatan tetap.

Dalam kenyataan hari ini, Presiden CUEPACS, Adnan Mat, berterima kepada kerajaan kerana bersedia untuk mempertimbangkan rayuan berkenaan namun ia tidak seharusnya hanya tertumpu kepada jawatan doktor kontrak sahaja.

Katanya, terdapat puluhan ribu lagi perjawatan di Kementerian Kesihatan (KKM) dan lain-lain kementerian yang masih berstatus kontrak serta menunggu masa untuk ditamatkan.

Beliau berkata, selain doktor kontrak, ada perjawatan lain yang kritikal dan masih berstatus kontrak seperti jururawat, penolong pegawai perubatan, penolong pegawai kesihatan persekitaran, pegawai kesihatan persekitaran, pembantu kesihatan awam, jururawat masyarakat, juru x-ray dan juruteknik makmal perubatan.

Katanya, pewujudan jawatan tambahan untuk doktor juga perlu mengambil kira keperluan penambahan jawatan lain yang memberi sokongan secara berpasukan seperti jururawat, penolong pegawai perubatan dan lain-lain.

“Mereka ini juga berada dalam sektor yang kritikal serta perlu diberi perhatian.

“CUEPACS berpendapat faktor kos serta kekangan kewangan yang dihadapi oleh kerajaan sepatutnya tidak menghalang usaha menyerap semua kakitangan ini kepada status tetap kerana ia satu keperluan pada masa kini dan akan datang” katanya.

Begitu juga dengan kakitangan berstatus kontrak di lain-lain kementerian yang hanya menunggu masa untuk ditamatkan kontrak ketika negara berhadapan pandemik Covid-19.

CUEPACS difahamkan kira-kira 1,200 pegawai pemantau harga di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan ditamatkan kontrak mereka pada penghujung tahun ini.

“Penamatan kontrak tersebut tidak sepatutnya berlaku memandangkan situasi semasa yang menyaksikan rakyat tertekan dengan kenaikan harga barangan sewenang-wenangnya oleh sesetengah pengusaha,” katanya.

Adnan berkata, kerajaan seharusnya tidak terikat dengan waran perjawatan yang lama dalam mengisi perjawatan perkhidmatan awam kerana ia sepatutnya boleh disesuaikan mengikut situasi semasa negara.

“Setiap tahun rakyat akan bertambah dan bajet negara juga akan bertambah. Tempoh ujian sebenar kepada kerajaan adalah sejauh mana kerajaan menjaga kebajikan pekerja dan rakyat.

“Dalam situasi semasa negara ketika ini, kerajaan tidak boleh terlalu berkira dalam hal-hal yang melibatkan kepentingan rakyat dan negara,” katanya.

Sumber | FMT