Dibelasah guna besi selepas kemalangan

Dibelasah guna besi selepas kemalangan

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki cedera selepas dipukul menggunakan sebatang besi dalam pergaduhan susulan satu kemalangan jalan raya di Jalan Telawi 5, Bangsar di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, pihaknya dimaklumkan tentang kejadian oleh orang awam kira-kira pukul 12.30 malam sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, anggota bertugas mendapati seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun sedang terbaring di atas jalan raya dalam keadaan berlumuran darah dipercayai telah dipukul menggunakan objek keras dan telah dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur.

“Siasatan awal pihak polis mendapati, kejadian berpunca daripada perselisihan faham di antara mangsa dengan dua lelaki selepas kereta jenis Honda Accord yang dipandu mangsa telah melanggar sebuah kereta jenis Proton Satria,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Anuar, pemandu kereta Proton Satria yang keluar dari kereta kemudiannya telah dimarahi oleh mangsa sebelum berlaku pergaduhan di antara mereka dan rakan kepada mangsa keluar dari kereta Honda Accord lalu bertindak mengelar leher lelaki itu menggunakan pisau sebelum melarikan diri.

“Pemandu Proton Satria yang berang akibat dikelar kemudiannya terus bertindak memukul pemandu Honda Accord menggunakan sebatang besi yang diambil dari but kereta dan turut memecahkan cermin hadapan kereta lelaki tersebut sebelum pergi ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk mendapatkan rawatan.

“Siasatan kes masih dijalankan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu merusuh menggunakan senjata dan boleh dipenjarakan selama lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” tegas beliau. – K! ONLINE

Sumber : https://www.kosmo.com.my/2020/11/30/dibelasah-guna-besi-selepas-kemalangan/