Derita pemandu teksi musim PKP

Derita pemandu teksi musim PKP

Meskipun pelbagai sektor dibenarkan beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 namun pemandu teksi masih merana.

Salah seorang daripada mereka, Abdul Karim Abu Bakar, 64, berkata walaupun bersyukur dengan bantuan one-off sebanyak RM500 menerusi Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) namun ia sebenarnya tidak mencukupi.

Malah dalam tinjauan MalaysiaGazette hari ini, beliau mendedahkan jumlah itu hanya cukup untuk membayar sewa teksi sahaja.

Apatah lagi Abdul Karim sudah selama 56 hari dia tidak membayar sewa teksinya.

“Sehari sewa teksi saya RM49 ada juga syarikat penyewa bagi murah sikit diskaun 15 peratus. Bolehlah bernafas sikit,” katanya ketika ditemui hari ini.

Bagaimanapun, apa yang diharapkannya adalah belas ihsan daripada syarikat teksi untuk memahami situasi semasa melibatkan penularan Covid-19 dan kesukaran mendapatkan penumpang.

Katanya lagi, tidak semua syarikat akan memberikan diskaun seperti penyewanya.

“Minta syarikat yang beri sewa teksi bertimbang rasalah sikit dengan pemandu teksi sebab sekarang bagi murah pun kami tetap susah cari penumpang,” katanya lagi.

Dalam pada itu, rakannya, Rusli Salleh, 65, menganggap bantuan kerajaan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam memberikan sedikit ruang untuknya bernaffas.

Namun jauh di sudut hatinya beliau berharap dalam waktu pandemik Covid-19 ini pemandu teksi menerima bantuan secara bulanan meskipun jumlahnya tidak banyak.

“Kalau ikut keperluan harian sekarang dengan RM500 memang tidak cukup. Kalau ada bantuan bulanan bolehlah bernafas,” katanya.

Senada dengan Abdul Karim beliau juga berpendirian kerajaan perlu melakukan perbincangan dengan pihak penyewa teksi untuk memberi potongan kadar sewa bagi suatu tempoh sebagai bantuan jangka masa panjang.

Jelasnya sepanjang tempoh PKP ini, setiap hari untuk mendapatkan RM25 pun sangat sukar dan ada kalanya beliau hanya pulang rumah dengan hanya RM5 sahaja.

“Saya sekarang ini sewa teksi diberi diskaun 40 peratus daripada syarikat. Kira baguslah..masa hari Ahad saya dapat RM5 sahaja sehari,” ujarnya.

Namun beliau tetap berterima kasih dengan kerajaan kerana bantuan yang diberikan menjadi bukti keprihatinan kerajaan terhadap golongan terjejas akibat penularan Covid-19.

Dalam pada itu, seorang lagi pemandu teksi, Hafrizal Safri, ia tahun kedua kepada mereka mengharungi situasi yang mencabar terutama kepada dirinya yang perlu menyara tiga orang anak.

Berita penuh : https://malaysiagazette.com/2021/01/19/derita-pemandu-teksi-musim-pkp/