Dera bayi lelaki 8 bulan hingga mati, jururawat didakwa

Dera bayi lelaki 8 bulan hingga mati, jururawat didakwa

Seorang jururawat dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengakibatkan kematian bayi lelakinya yang berusia lapan bulan minggu lalu.

Tertuduh, T. Rebekal, 30, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Nurul Asyifa Redzuan.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian J. S. Melvin Jeshuran berusia lapan bulan di sebuah rumah di Kampung Muhibbah, Sungai Siput (U) di sini pada pukul 6 petang, 24 Julai 2022.

Pertuduhan terhadap wanita itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R. S. Vitthiyeswary manakala peguam K. Nahtan mewakili tertuduh.

Mahkamah menetapkan 3 Oktober depan bagi sebutan semula kes sementara menunggu laporan forensik dan bedah siasat.

Menerusi laporan media pada Selasa lalu, perbuatan wanita itu terbongkar berikutan kematian seorang bayi lelaki berusia lapan bulan dengan kesan kecederaan disyaki didera.