Dendam dipercayai punca bomoh ditembak mati

Dendam dipercayai punca bomoh ditembak mati

Seorang pengamal perubatan tradisional ditemukan maut dipercayai ditembak dalam sebuah rumah berhampiran Bukit Rangin Perdana 2, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan Mohamad Noor Yusof Ali berkata, mangsa Mohamad Abdul Rahim Nasri, 31, ditemukan kira-kira 11 malam, dengan kesan darah kering di kepala serta mempunyai luka tembakan.

“Setakat ini, polis tidak menolak kemungkinan kejadian bermotifkan dendam atau marah memandangkan terdapat juga beberapa kesan tembakan di badan mangsa,” katanya menerusi kenyataan.

Mohamad Noor berkata, difahamkan mangsa tinggal berseorangan di rumah semasa kejadian kerana isterinya sedang berpantang di rumah keluarganya di Pekan selepas melahirkan anak.

Ibu mangsa berusia 60 tahun yang tinggal bersamanya pula dikatakan sedang berniaga di sebuah tapak perniagaan yang terletak kira-kira 200m dari lokasi kejadian.

Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. | FMT