Denda bukan isu utama, tetapi perasaan takut jika ditangkap, kata pakar psikologi

Denda bukan isu utama, tetapi perasaan takut jika ditangkap, kata pakar psikologi

Langkah terbaru kerajaan menaikkan denda ke atas individu yang melanggar peraturan perintah kawalan pergerakan (PKP) tidak akan banyak menghalang orang ramai daripada melakukan kesalahan, kata dua pakar.

Pakar psikologi klinikal Sarah Zehan dari Relate Mental Health Malaysia berkata, “tidak banyak bukti” bahawa hukuman lebih berat boleh menghalang orang ramai daripada melanggar peraturan.

Katanya, apabila orang berdepan situasi terdesak, mereka lebih cenderung untuk “merasionalkan alasan mereka” melanggar peraturan, bukannya memikirkan risikonya.

“Secara umum, orang ramai lebih memikirkan peluang mereka tertangkap daripada hukuman itu sendiri.

Jadi mereka lebih cenderung untuk mengikut SOP dalam situasi kemungkinan ditangkap adalah lebih tinggi, bukannya kerana hukuman,” katanya.

Pakar kriminologi dan pensyarah kanan Haezreena Begum dari Universiti Malaya berkata, prospek dikenakan denda maksimum RM10,000 akan mengingatkan orang ramai supaya memandang serius perkara itu.

Namun, jumlah denda bukanlah kaedah pencegahan yang berkesan dalam jangka panjang seperti yang ditunjukkan dalam bilangan orang terlibat dalam aktiviti berkaitan dadah walaupun wujud hukuman mati.

Konsep yang sama terpakai dalam pematuhan SOP Covid-19.

“Semakin lama perintah sekatan dilaksanakan, orang ramai akan berasa lebih tidak kisah. Kini dengan adanya vaksin Covid-19, kita melihat orang ramai lebih tidak kisah kerana mereka fikir mereka terlindung daripada virus,” kata Haezreena.

Haezreena memberitahu FMT, cara yang lebih berkesan untuk mencegah orang ramai daripada melanggar peraturan adalah melalui “kawalan komuniti”, yang bermakna mereka bertanggungjawab melaporkan pengingkar PKP.

“Orang ramai akan sentiasa mencari cara untuk melanggar peraturan, tetapi jika jiran mereka atau orang berdekatan boleh melaporkannya dengan mudah, maka mereka akan lebih berhati-hati,” tambahnya.

Bagaimanapun, pakar kriminologi P Sundramoorthy dari Universiti Sains Malaysia berkata, harus wujud toleransi sifar terhadap mereka yang masih berkeras untuk melanggar SOP, terutama selepas setahun hidup dengan pandemik Covid-19.

“Denda RM1,000 sebelum ini tidak banyak impak, jadi kita tidak perlu ragu-ragu untuk menjatuhkan hukuman lebih berat. Orang ramai tidak boleh mengabaikan akibat daripada perbuatan membahayakan kesihatan dan keselamatan orang lain,” kata Sundramoorthy.

Beliau juga berkata, orang ramai perlu diingatkan bahawa mereka berdepan denda “sehingga RM10,000”, dan kadar penalti mungkin lebih rendah bergantung pada jenis kesalahan yang dilakukan.

Di bawah Ordinan Darurat yang dipinda, denda maksimum bagi kesalahan ingkar PKP dinaikkan kepada RM10,000 ke atas individu dan RM50,000 untuk syarikat.

Peraturan baharu itu berkuat kuasa pada 11 Mac. | FMT