“Demi RM500…” 2 polis bantuan sanggup minta kad bank, nombor pin keluar wang

“Demi RM500…”  2 polis bantuan sanggup minta kad bank, nombor pin keluar wang

Dua polis bantuan ditahan dipercayai meminta rasuah RM500 termasuk mengambil kad bank dan nombor pin untuk mengeluarkan wang daripada sepasang kekasih yang dikatakan berkhalwat, dalam kejadian di belakang pusat beli belah, di Johor Bahru.

Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Raub Selamat, berkata dalam kejadian pada malam Jumaat, kedua-dua suspek mengeluarkan wang di ATM dengan mangsa yang juga seorang lelaki menerima satu pesanan ringkas di telefon bimbitnya memaklumkan RM1,000 dikeluarkan dari akaun banknya.

Katanya, bertindak laporan dibuat mangsa, pegawai penyiasat bersama-sama anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Johor Bahru Selatan menangkap kedua-dua suspek tersebut, termasuk merampas RM1,000.

Beliau berkata, kedua-dua suspek berusia 25 dan 32 tahun.

“Siasatan mendapati kejadian berlaku semasa pasangan berkenaan yang sedang berkhalwat dalam kereta di belakang bangunan pusat beli-belah tersebut didatangi kedua-dua suspek yang bertugas sebagai polis bantuan di kawasan itu pada 10 malam.

“Sebagai ganjaran tidak dikenakan tindakan undang-undang kerana berkhalwat dengan teman wanitanya dalam kereta, suspek meminta wang tunai RM500,” katanya menurut Sinar Harian.

Raub berkata, kedua-dua suspek direman empat hari.

"Demi RM500..."  2 polis bantuan sanggup minta kad bank, nombor pin keluar wang