Dasar Perpaduan Negara helah Muhyiddin beli undi bukan Melayu

Dasar Perpaduan Negara helah Muhyiddin beli undi bukan Melayu

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melancarkan Dasar Perpaduan Negara dan Rangka Tindakan (Blueprint) Perpaduan Negara 2021-2030 pada awal minggu lalu.

Pengumuman ini sememangnya disambut baik oleh ramai pihak khususnya mereka yang ingin melihat perubahan ke arah kebaikan negara Malaysia yang dicintai.

Muhyiddin juga ada memberikan amaran kepada rakyat Malaysia untuk berhati-hati dengan ahli politik yang memainkan sentimen perkauman demi kepentingan politik peribadi dalam ucapan majlis pelancaran tersebut.

Pelaku politik yang cuba menaikkan saham politik masing-masing melalui eksploitasi perasaan kaum hendaklah kita elakkan,” katanya pada majlis yang disiarkan di laman Facebook Kementerian Perpaduan Negara.

Walau bagaimanapun, ucapan Perdana Menteri itu telah menerima pelbagai reaksi daripada pelbagai pihak termasuklah ahli-ahli politik daripada parti pembangkang.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang dalam satu kenyataannya telah bertanyakan kesediaan Muhyiddin untuk mengisyhtiharkan yang beliau pertamanya adalah rakyat Malaysia dan keduanya orang Melayu sebelum memimpin Malaysia dalam Rangka Tindakan Perpaduan Kebangsaan ini.

Menurut Kit Siang, perpaduan dan kekuatan Malaysia terletak dalam kepelbagaian etnik, kebudayaan dan agama kita.

Beliau menegaskan bahawa semua rakyat Malaysia perlu pertamanya melihat diri mereka sebagai rakyat Malaysia.

Untuk rekod, Muhyiddin pernah mengumumkan yang beliau pertamanya adalah orang Melayu, kemudian rakyat Malaysia semasa beliau memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri, pada April 2010.

Memetik semula kata Muhyiddin, “I am Malay first but I want to say that being a Malay does not mean you are not a Malaysian.”

Berdasarkan satu kenyataan bersama Ahli-ahli Parlimen Dewan Negara dan Dewan Rakyat Pakatan Harapan, mereka juga turut mengingatkan agar blueprint (pelan) ini bukan hanya satu helah politik.

Ini kerana masih wujud lagi parti-parti politik yang asasnya adalah identiti kaum dan agama seperti Umno, Pas, MCA dan MIC yang akan menggugat semangat perpaduan.

Kenyataan tersebut ditandatangai oleh Kasthuriraani A/P Patto ( Ahli Parlimen Batu Kawan), Alice Lau (Ahli Parlimen Lanang), Raj Munni @ Aiman Athirah Sabu (Ahli Dewan Negara), Lim Hui Ying (Ahli Dewan Negara), Datuk Theodore Douglas (Ahli Dewan Negara) dan Adrian Banie Lasimbang (Ahli Dewan Negara).

Politik identiti atau politik perkauman inilah yang akan menggugat keamanan dan semangat perpaduan di antara semua etnik negara kita kerana keanggotaan parti-parti ini berdasarkan kaum.

“Setakat memiliki dokumen dasar dan blueprint perpaduan yang tidak disertai dengan penggubalan undang-undang baharu, akhirnya hanya akan menyebabkan kita mengulangi kesukaran dan pengalaman-pengalaman yang sama.

“Slogan-slogan atas nama kaum bersifat provokatif dan retorik atas nama agama yang bernada ekstrem perlu dikategorikan sebagai satu kesalahan jenayah dan boleh didakwa di mahkamah.

“Usaha ke arah ini mesti dilakukan secara serius, “without fear and favour,” tegas mereka lagi.

Tambah kenyataan itu lagi, agenda perpaduan negara memerlukan komitmen tinggi dan “political will” yang ikhlas dan jujur, dengan semangat patriotik yang sebenar, dan bukannya terkepung dengan kepentingan-kepentingan politik kepartian dan kelompok yang jumud dan sempit.

Jadi, persoalannya, mampukah Kerajaan PN memastikan blueprint ini berjaya diterapkan dalam diri seluruh rakyat Malaysia agar perpaduan nasional dapat dicapai?

Atau adakah ia sekadar helah politik untuk membeli hati pengundi bukan melayu memandangkan Pilihan Raya Umum mungkin akan diadakan pada bila-bila masa selepas tamatnya perintah Darurat nanti?

Selagi Malaysia dipimpin oleh parti yang berasaskan kaum dan agama, selagi itulah perpaduan nasional sukar untuk dicapai. | MD