Dalang utama sindiket judi dalam talian diberkas

Dalang utama sindiket judi dalam talian diberkas

KUALA LUMPUR: Polis menahan dalang utama kegiatan judi dalam talian di negara ini yang dipercayai ada kaitan dengan sindiket didalangi Alvin Goh dan Addy Kanna menerusi Op Dadu Centre bermula 10 Oktober hingga 20 Oktober lalu.

Suspek yang juga warga China dikenali sebagai Chen Dewei berusia 31 tahun ditahan di sebuah lokasi di Mont Kiara di sini, bersama enam lagi suspek terdiri daripada lima lelaki warga China dan seorang lelaki tempatan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata sepanjang operasi itu, seramai 130 individu ditahan menerusi serbuan yang dijalankan ke atas 14 pusat panggilan judi dalam talian di sekitar Lembah Klang.

“Menerusi serbuan dan tangkapan itu, kita berjaya menumpaskan 12 sindiket pusat panggilan judi dalam talian termasuk yang didalangi Dewei dan enam konconya.

“Antara sindiket yang ditumpaskan itu ada kaitan dengan sindiket didalangi Alvin Goh dan Addy Kanna.

“Suspek mempunyai hubungan dengan dalang di negara ini dan membawa sindiket dari China untuk membuka pusat panggilan judi dalam talian di sini,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Mengulas lanjut, Huzir berkata Dewei adalah suspek dikehendaki oleh pihak berkuasa di China kerana kegiatan penipuan dan berperanan sebagai penghubung antara sindiket di Malaysia dan China.

“Dewei kini bersama enam lagi suspek direman selama 38 hari mengikut Seksyen 4(2)(a) Akta Pencegahan Jenayah 1959.

“Mereka akan dihadapkan ke Lembaga Pencegahan Jenayah (LPJ) pada 8 Januari ini selepas tamat reman selama 38 hari,” katanya.

Katanya, mereka adalah antara 87 individu yang ditahan menerusi Operasi Dadu Centre yang direman 38 hari mengikut Seksyen 4(2)(a) Akta Pencegahan Jenayah 1959.

“19 lagi individu kini masih dalam siasatan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) dan 13 lagi dibebaskan,” katanya.

Huzir berkata, Goh Leong Yeong atau Alvin Goh, Addy Kanna serta dua lagi anggota polis ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) selama dua tahun.

“Semua hukuman tahanan selama dua tahun itu diputuskan Lembaga Pencegahan Jenayah (LPJ), Kementerian Dalam Negeri, Jumaat lalu.

“Keempat-empat individu berkenaan akan dihantar ke tiga Pusat Pemulihan Khas (PPK) iaitu di Simpang Renggam, Bentong dan Pokok Sena,” katanya.

Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/12/760350/dalang-utama-sindiket-judi-dalam-talian-diberkas