Dakwaan ‘merpati’ dapat layanan istimewa di HRC, ahli perniagaan lapor polis

Dakwaan ‘merpati’ dapat layanan istimewa di HRC, ahli perniagaan lapor polis

Seorang ahli perniagaan Sheikh Fahmi Sheikh Jaafar menggesa pihak polis melakukan siasatan susulan dakwaan khabar angin mengatakan Najib Razak diberikan layanan istimewa sepanjang tempoh tahanan penjara.

Beliau membuat gesaan termasuk terbaharu satu mesej yang tular mendakwa Najib, di bawah nama kod “Merpati”, menerima rawatan VVIP termasuk pengubahsuaian yang akan dilakukan di sel penjaranya bernilai RM50,000, manakala doktor peribadinya didakwa mendesak rawatan luar untuknya walaupun pegawai penjara mendapati dia sihat.

Sheikh Fahmi berkata jika benar dakwaan itu, polis perlu mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat.

“Jadi kalau benar beliau diberi layanan istimewa, kena ambil tindakan, kalau tidak benar, juga kena amik tindakan kepada pembuat cerita, kerana itu juga bahaya menuduh pihak kesihatan dan menteri,”katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.

Sheikh Fahmi yang ditemani peguamnya Muhammad Rafique Rashid Ali membuat laporan berhubung perkara itu.

Katanya, beliau juga tidak berpuas hati dengan layanan diberikan Najib memandangkan ibu mertuanya yang sebelum ini ingin mendapatkan rawatan di Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) bagaimanapun ditolak.

“Kenapa begitu susah bagi ibu mertua saya yang sakit, sedangkan begitu senang banduan boleh masuk HRC. Malah saya rasa bukan mak mertua saya seorang dinafikan, orang lain pun sama.

“Kita ada 70,000 banduan, adakah mereka semua dapat layanan yang sama dengan Najib?,” soalnya.

Terdahulu, tular satu mesej mendakwa Najib, di bawah nama kod “Merpati”, menerima rawatan VVIP termasuk pengubahsuaian yang akan dilakukan di sel penjaranya bernilai RM50,000, manakala doktor peribadinya didakwa mendesak rawatan luar untuknya walaupun pegawai penjara mendapati dia sihat.

Khabar khabar angin itu juga mendakwa Najib, yang diberi nama kod rahsia, akan dipindahkan ke HRC bagi membolehkan lebih banyak akses kepada pengunjung dan kemudahan VVIP.

Pada Rabu, Jabatan Penjara mengesahkan Najib sedang dirawat di hospital Rehabilitasi Cheras, manakala Menteri kesihatan Khairy Jamaluddin berkata Najib telah dipindahkan ke sana kerana beliau memerlukan fisioterapi.