Dakwaan LCS Rafizi : Latiff beri keterangan kepada polis

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Abd Latiff Ahmad memberi keterangan kepada polis berhubung laporan dibuat terhadap Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berkait dakwaan projek kapal tempur pesisir (LCS).
Menerusi kenyataan media, Latiff berkata polis merakam keterangannya pagi semalam.
“Susulan laporan polis yang dibuat terhadap Rafizi oleh pegawai saya pada 30 Ogos lalu, saya sudah didatangi pegawai polis pagi semalam, untuk diambil keterangan.
“Saya tegaskan bahawa Rafizi adalah seorang pembohong yang memfitnah dan mentohmah saya dan keluarga saya hanya semata-mata untuk kepentingan politik,” katanya.
Sebelum ini, pegawai Latiff membuat laporan polis terhadap Rafizi yang didakwa memfitnahnya dalam isu berkaitan projek LCS dengan merujuk hantaran di media sosial yang disifatkan sebagai fitnah bertujuan merosakkan nama baik Ahli Parlimen Mersing itu.
Rafizi didakwa menyiarkan empat kenyataan dan tohmahan pada 22, 25, 26 dan 29 Ogos lalu di blog dan menyiarkan semula di Facebook (FB), Twitter dan TikTok.
Rafizi mendakwa Latiff mempunyai isteri kedua bernama Zainab Mohd Salleh yang mendapat kontrak jutaan ringgit dengan Kementerian Pertahanan untuk projek LCS.
Semalam, Ketua Polis Sentul Beh Eng Lai berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan (kesalahan memfitnah) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 (penyebaran kenyataan jelik).
Polis akan memanggil Rafizi untuk dirakam keterangan susulan laporan tersebut.
Latiff yang juga bekas menteri pertahanan bagaimanapun menafikan wanita dikaitkan dalam siasatan projek LCS adalah isterinya.
Beliau juga bersedia memberikan kerjasama penuh terhadap siasatan pihak berkuasa berkaitan isu itu.