Dakwaan kasari orang bawahan, Ketua Polis P Pinang diminta beri penjelasan

Dakwaan kasari orang bawahan, Ketua Polis P Pinang diminta beri penjelasan

Dua kumpulan awam menggesa Ketua Polis Pulau Pinang Shuhaily Mohd Zain menjawab dakwaan bahawa beliau mengasari seorang anggota polis lebih enam tahun lalu.

Jurucakap pertubuhan Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan (EDICT) dan Citizens Against Enforced Disappearances (CAGED) membuat gesaan itu dengan merujuk kepada laporan polis difailkan pada November 2015 yang baru-baru ini didedahkan dalam akaun Twitter pemberi maklumat, Edisi Siasat.

Dalam laporan itu, seorang anggota polis berpangkat lans koperal di balai polis Daerah Hilir Perak mendakwa beliau dimarahi Shuhaily, yang ketika itu adalah Ketua Polis Daerah, selepas gagal memberi tabik hormat ketika keretanya melepasi pos pengawal.

Beliau mendakwa Shuhaily memukulnya di bahu kiri dan ini memalukan dan menjejaskan emosinya, selain boleh menjejaskan semangat dan produktivitinya di tempat kerja.

Tambahnya, Shuhaily mengancam untuk menukarkannya ke Sabah atau Sarawak.

FMT telah menghubungi pejabat Shuhaily bagi mendapatkan komen.

Jurucakap EDICT, Khalid Ismath, menggesa Shuhaily supaya segera menangani dakwaan itu.

Katanya, beliau perlu memfailkan saman sivil terhadap pengadu jika dakwaan tersebut palsu.

“Kami menggesa Bukit Aman mengambil tindakan segera bagi menyiasat perkara ini,” katanya kepada FMT.

“Pada masa sama, Shuhaily mesti menjawab dakwaan ini kerana pengadu membuat laporan polis bertahun-tahun lalu. Beliau mesti digantung kerja semasa siasatan.”

Khalid berkata, dakwaan bahawa seorang pegawai berkuasa berkelakuan seperti samseng membimbangkan sedangkan beliau sepatutnya menjaga keselamatan orang ramai.

Beliau menggesa agar sebuah badan bebas ditubuhkan untuk menyiasat kes itu jika polis tidak meneruskan siasatan.

Jurucakap CAGED Rama Ramanathan memberitahu FMT, beliau ingin tahu hasil siasatan polis terhadap laporan yang dibuat pada 2015 itu.

Beliau berkata, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri perlu memanggil Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani dan Menteri Dalam Negeri, yang juga pengerusi Suruhanjaya Pasukan Polis, untuk menjelaskan perkara itu.

Beliau menggesa suruhanjaya itu memberitahu orang ramai sama ada laporan polis tersebut dipertimbangkan semasa menilai calon untuk kenaikan pangkat.

Sumber | FMT

COMMENTS