Dakwaan dua ADUN NS sertai PBM hanya provokasi – Aminuddin

Dakwaan dua ADUN NS sertai PBM hanya provokasi – Aminuddin

Dakwaan terdapat dua orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan akan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) disifatkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai satu tindakan provokasi.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Negeri Sembilan turut tidak mengetahui siapakah dua ADUN yang dimaksudkan oleh Presiden pengganti Parti Bangsa Malaysia (PBM), Datuk Dr. Zuraida Kamaruddin itu.

“Itu provokasi, selagi tiada itu tiadalah, daripada dulu provokasi ini kita dengar. Saya pun tidak tahu siapa dia, sedang mencari tetapi tidak jumpa-jumpa,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sijil Pengesahan Halal Malaysia dan Ramah Mesra Usahawan Kotej Halal di sini hari ini.

Sebelum ini, Zuraida dalam sidang akhbar selepas Persidangan Agung Tahunan 2022 PBM di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam, Selangor mengumumkan Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr. Xavier Jayakumar dan Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr. Edmund Santhara disahkan menyertai PBM.

Katanya, selain dua ahli Parlimen itu, dua lagi ADUN di Negeri Sembilan juga sedang dalam proses untuk menyertai PBM kelak.

Dalam pada itu, Aminuddin yang juga Naib Presiden PKR menjelaskan tidak mengetahui sama ada beliau akan diletakkan bertanding di kerusi Parlimen ataupun tidak.

“Kena tanya Presiden, itu kuasa Presiden. Minggu hadapan kali pertama akan dibincangkan mengenai calon, senarai (calon) telah dihantar ke ibu pejabat.

“Di negeri-negeri, kami hanya kumpul dan hantar. Ada jawatan kuasa yang menilai dan selepas itu dibawa kepada Majlis Presiden dan selepas itu Majlis Presiden akan umumkan bersama,” katanya.