Daerah Pitas dan Kalabakan bertukar ke zon merah – Masidi Manjun

Daerah Pitas dan Kalabakan bertukar ke zon merah – Masidi Manjun

Daerah Pitas bertukar dari zon jingga ke zon merah manakala, Kalabakan bertukar dari zon kuning ke zon merah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan juga merangkap Menteri Kewangan II Datuk Seri Masidi Manjun dalam satu kenyataan Laporan Harian Kes Jangkitan COVID-19 pada 27 November 2020 juga berkata terdapat satu kluster baharu di daerah Kota Kinabalu iaitu Kluster Jalan Tuaran yang mencatatkan sebanyak 34 kes berkaitan dengan saringan pekerjaan di Kilang Sabah Steel Industries.

Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, beliau berkata jumlah kes positif baharu setakat adalah sebanyak 441 kes menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 27,679 kes.

Katanya, daripada 441 kes positif COVID-19 berkenaan, sebanyak 192 kes (43.54%) adalah dari saringan kontak rapat yang melibatkan daerah Kota Kinabalu, Tawau, Lahad Datu dan Sandakan, manakala baki 249 kes adalah dari lain-lain kategori.

“Daerah Kota Kinabalu mencatatkan kes tertinggi pada hari ini. Daripada 132 kes sebanyak 34 kes adalah daripada Kluster Jalan Tuaran, Kluster Sutera (18 kes) dan Kluster Rumah Merah (4 kes).

“Manakala saringan kontak rapat (65 kes), saringan bergejala (8 kes), saringan kendiri (2 kes) dan saringan sebelum kerja (1 kes),” katanya.

Masidi turut melaporkan satu kes kematian di daerah Semporna manakala jumlah pesakit COVID-19 telah discaj/sembuh dari hospital adalah seramai 738 pesakit, menjadikan jumlah kumulatif sembuh 24,519 orang.

“Sejumlah 2,027 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 663 orang di hospital dan 1,364 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC). Bilangan pesakit COVID-19 dalam ICU ialah 74 orang dan 21 orang pula memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

“Jumlah kapasiti katil di Hospital COVID-19 adalah sebanyak 1,007 unit.

Sementara, di PKRC adalah 5,577 unit menjadikan jumlah keseluruhan 6,584 unit. Peratus penggunaan katil pada hari ini adalah 30.79%,” tambahnya.

Selain itu, beliau juga mengumumkan bahawa Mesyuarat Jawatankuasa Bencana Negeri telah bersetuju membenarkan aktiviti Busking di lokasi tertutup (dalam bangunan) sebagaimana yang dinyatakan dalam prosedur operasi standard (SOP) sebelum ini.

Jelasnya, aktiviti berkenaan hanya boleh diadakan dengan kawalan masa persembahan dan jumlah penonton yang ditetapkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan Pihak Berkuasa Tempatan.

Mengenai Sekatan Jalan Raya (SJR), beliau berkata sebanyak 69 SJR telah dilaksana melibatkan pemeriksaan 47,261 kenderaan di mana 188 buah kenderaan diarah berpatah balik.

Menurut beliau, tiada tangkapan dilakukan namun 44 kompaun dikeluarkan atas kesalahan melanggar SOP COVID-19.

Penguatkuasaan SOP turut dijalankan di perairan laut Sabah oleh Pasukan Polis Marin yang melibatkan 20 pemeriksaan di kawasan Pantai Timur dan 29 pemeriksaan di perairan Kota Kinabalu dan Labuan, tambahnya.

Kadar pematuhan penduduk terhadap SOP PKPB ialah 97.9% dengan tiga daerah menunjukkan pematuhan Tertinggi iaitu Kinabatangan (99%), Sipitang (99%), dan Kota Belud (99%), manakala pematuhan terendah adalah daerah Ranau (96%).

Beliau juga berkata PDRM telah melaksanakan 71 hebahan melalui kereta peronda manakala hebahan umum Info On Wheels Jabatan Penerangan Sabah mengenai pematuhan SOP, amalkan 3W, elakkan 3C dan pembudayaan norma baharu telah dilaksanakan di 136 lokasi di 15 daerah yang dibuat dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Bajau dan Bahasa Dusun.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah juga katanya telah melaksanakan sanitasi di tujuh premis di empat buah daerah iaitu Sandakan, Tawau, Semporna dan Kota Kinabalu.

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh mengenai sumbangan daripada Syarikat Samling Timber Sdn Bhd yang berpangkalan di Sarawak iaitu sebanyak RM500,000.00 ke akaun Amanah Bencana Alam Negeri untuk bantuan mangsa COVID-19 dan mengalu-alukan lebih banyak sumbangan daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO), Badan Berkanun dan orang perseorangan.

Tambahnya, sehingga hari ini, sebanyak 240,383 bakul makanan telah diagihkan kepada golongan sasar.

Bagi tujuan bantuan logistik COVID-19, beliau berkata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri mempunyai 241 buah kenderaan yang sedia digunakan di mana daripada jumlah tersebut, sebanyak 43 buah kenderaan digunakan untuk mengangkut pesakit COVID-19, manakala 28 buah kenderaan digunakan untuk menghantar bakul makanan ke lokasi sasaran.

“Baki 170 kenderaan pelbagai jenis bersedia digerakkan jika perlu,” katanya.

Berita penuh : https://www.utusanborneo.com.my/2020/11/28/daerah-pitas-dan-kalabakan-kini-zon-merah