Cuti Thaipusam : MB Kedah terus dikecam, gesa kaji semula keputusan

Cuti Thaipusam : MB Kedah terus dikecam, gesa kaji semula keputusan

Pergerakan Pemuda MIC Kedah menggesa Menteri Besar Negeri Kedah Sanusi Md Nor untuk mengkaji semula keputusan membatalkan cuti peristiwa perayaan Thaipusam pada 28 Januari ini.

Ketuanya Jeevabalan Jayaraman berkata bahawa keputusan itu seolah-olah tidak menghormati sensitiviti dan tidak peka terhadap masyarakat kaum India di negeri Kedah.

“Hari Thaipusam merupakan cuti peristiwa bagi negeri Kedah, Pulau Pinang dan Selangor. Bagaimanapun, negeri-negeri tersebut tidak membatalkan cuti berkenaan hanya kerana larangan sambutan itu turut dikenakan di negeri terbabit.

Walaupun negara dalam pelaksanaan PKP, ini tidak bermakna Thaipusam ini tidak boleh diraikan di rumah bersama ahli keluarga.

“Hari Thaipusam ini bukan tertumpu kepada mengunjungi rakan-rakan mahupun ahli keluarga tetapi lebih kepada menunaikan sembahyang dan membayar nazar,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Terdahulu, Sanusi pada Rabu mengumumkan tiada cuti peristiwa bagi perayaan Thaipusam di Kedah susulan situasi semasa berkaitan Covid-19.

Ia kemudian mendapat kecaman beberapa pemimpin politik khususnya Menteri Sumber Manusia yang juga Timbalan Presiden MIC M Saravanan, yang menganggap ia berat sebelah.

“Dalam tempoh pandemik Covid 19 ini, setiap perayaan atau hari keagamaan tidak terbatal kerana setiap perayaan mempunyai nilai tersendiri bagi sesuatu kaum.

“Persoalannya di sini, apakah logik yang diguna pakai oleh menteri besar Kedah tidak meneruskan cuti peristiwa sempena Thaipusam dalam tempoh PKP ini memandangkan perayaan atau hari keagamaan masih berjalan seperti biasa namun cara dan kaedahnya berbeza dalam tempoh pandemik ini.

“Kami juga ingin meminta penjelasan daripada menteri besar Kedah berkenaan kenyataan beliau yang menyatakan beliau telah berjumpa dengan tiga kumpulan masyarakat India mewakili penganut Hindu dan menjelaskan mengenai keputusan tidak meneruskan pemberian cuti peristiwa sempena Thaipusam,” katanya.

“Adakah benar kenyataan tersebut ataupun ia semata-mata sandiwara politik?” soalnya lagi. – MK