China penjarakan 630 imam

China penjarakan 630 imam

BEIJING, CHINA – Sekurang-kurangnya 630 imam dan tokoh agama Islam sama ada ditangkap atau dipenjarakan oleh pemerintah China sejak tahun 2014 dalam tindakan tidak berperikemanusiaannya di wilayah Xinjiang, lapor Badan Penyiaran British (BBC) hari ini.

Kajian terbaharu mengenainya oleh Projek Hak Asasi Kemanusiaan Uighur (UHRP) itu turut mendapati seramai 18 ulama telah meninggal dunia ketika dalam tahanan.

Ulama-ulama yang ditahan itu disabitkan dengan kesalahan seperti ‘propaganda keganasan’, ‘mengumpulkan orang ramai untuk mengganggu kestabilan sosial’ dan ‘mewujudkan pengasingan’.

Bagaimanapun , menurut ahli keluarga mereka yang ditahan, ‘jenayah’ sebenar di sebalik semua kesalahan yang disabitkan itu adalah kerana menyampaikan ceramah agama, mengimamkan solat jemaah atau sekadar melaksanakan tanggungjawab sebagai imam.

Secara keseluruhan, UHRP telah menjejaki nasib sejumlah 1,046 imam dengan kebanyakan daripadanya adalah daripada etnik Uighur dengan menggunakan dokumen, testimoni keluarga dan laporan media daripada pangkalan data awam serta peribadi.

Meskipun kesemua 1,046 imam dilaporkan ditahan, dalam kebanyakan kes, agak sukar untuk mendapatkan bukti susulan kawalan ketat yang dikenakan kerajaan China terhadap maklumat di wilayah itu.

Antara 630 kes, sekurang-kurangnya 304 daripada imam-iman telah dipenjarakan atas kengganan mereka menyertai jaringan kem ‘pendidikan semula’ yang diwujudkan kerajaan China untuk etnik Uighur.

Hukuman yang dikenakan menggambarkan tindakan keras pemerintah China dengan 96 peratus daripada tahanan dikenakan hukuman sekurang-kurangnya lima tahun penjara, 26 peratus dikenakan hukuman 20 tahun dan lebih termasuk 14 orang dipenjara seumur hidup.

China bagaimanapun menafikan semua dakwaan tersebut, dan mengatakan bahawa tujuan program ‘pendidikan semula’ diadakan adalah untuk mengatasi ekstremisme dalam kalangan etnik Uighur dan minoriti Islam yang lain. – Agensi

COMMENTS