Cara baru daftar pengambilan vaksin Covid-19 selain menggunakan aplikasi MySejahtera

Cara baru daftar pengambilan vaksin Covid-19 selain menggunakan aplikasi MySejahtera

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) telah memperkenalkan dua cara terbaru kepada orang awam untuk mendaftar pengambilan vaksin Covid-19, selain kaedah sedia ada iaitu melalui aplikasi MySejahtera.

Orang awam kini boleh mendaftar menerusi laman web JKJAV yang tersedia dalam Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan disertakan beberapa informasi berhubung vaksinasi tersebut.

Selain itu, mereka juga boleh menelefon talian 1800-888-828 bagi pendaftaran.

Dua kaedah baru itu diperkenalkan oleh JKJAV menerusi akaun sosial media tengah hari tadi.

Sementara itu, jawatankuasa itu turut mendedahkan jumlah orang awam yang telah mendaftar setakat ini melebihi 2 juta, dengan jumlah tepat sebanyak 2,024,356 pendaftaran setakat 3 petang hari ini.

Ini berlaku setelah pendaftaran dibuka kepada umum 10 hari yang lalu pada 23 Februari dan mencapai sejuta pendaftaran pertama pada 26 Februari.

Bagaimanapun, ia cuma merangkumi 6.33 peratus daripada keseluruhan penduduk Malaysia yang berjumlah 32 juta orang.

Kerajaan berharap dapat memvaksin sekurang-kurangnya 70 peratus penduduk pada bulan Februari tahun depan untuk mencapai imuniti kelompok terhadap penyakit ini dan melindungi mereka yang tidak dapat menerima vaksin.

Sementara itu, JKJAV berkata, seramai 99,616 individu telah menerima suntikan dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech Comirnaty sejak semalam.

Sarawak merupakan negeri yang mempunyai jumlah orang awam menerima vaksin iaitu sebanyak 14,134, diikuti dengan Kelantan (10,941) dan Kuala Lumpur (10,970).

Program Vaksinasi Covid-19 Kebangsaan telah bermula pada 24 Feb dan fasa pertama diberikan kepada petugas barisan hadapan, anggota parlimen dan anggota dewan undangan negeri (Adun) yang layak.

Fasa terbabit juga akan berterusan sehingga April, yang menyasarkan seramai 500,000 orang.

Fasa kedua pada April sehingga Ogos pula menyasarkan untuk memvaksin 9.4 juta orang.

Ini termasuk kakitangan kesihatan dan perkhidmatan penting serta individu berisiko mengalami gejala Covid-19 seperti warga emas mereka yang dan mempunyai penyakit kronik seperti penyakit jantung, obesiti, dan tinggi tekanan darah.

Bagi fasa ketiga, bermula pada Mei hingga Februari tahun 2022, pemberian vaksin akan diberikan kepada orang awam dewasa termasuk bukan warganegara. Fasa ini menyasarkan sekurang-kurangnya 13.7 juta orang.

Setakat ini, Comirnaty merupakan satu-satunya vaksin yang digunakan dalam kempen tersebut ,empat vaksin lain juga sedang dalam proses.

Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) hari ini memberikan kelulusan bagi pendaftaran bersyarat untuk vaksin Covid-19 yang dikembangkan oleh firma Britain AstraZeneca dan firma China Sinovac.

Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) juga sedang meneliti vaksin yang

dibangunkan oleh Pusat Penyelidikan Nasional Gamaleya untuk Epidemiologi dan Mikrobiologi Rusia. – MK