Calon PH DUN Tioman sedia beri laluan kepada BN jika diarah

Calon PH DUN Tioman sedia beri laluan kepada BN jika diarah

Calon PH DUN Tioman sedia beri laluan kepada BN jika diarah. Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Mohd Fadzli Mohd Ramly, bersedia memberi laluan kepada calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohd Johari Hussain jika diarahkan oleh pucuk pimpinan tertinggi parti.

Beliau berkata perkara itu telah dibincangkan di peringkat Majlis Presiden PH, dengan mengambil kira situasi politik semasa di peringkat Pusat dan DUN Pahang, namun setakat ini, belum ada sebarang kata putus dibuat.

“Mungkin selepas ini ada perbincangan lanjut tentang perundingan kerusi antara (Parlimen) Padang Serai dan DUN Tioman ini, kerana kita lihat Padang Serai ini merupakan satu kerusi yang penting untuk kita menambah bilangan kita di peringkat Parlimen, namun DUN Tioman juga tidak kurang pentingnya.

“…setakat hari ini saya tidak dimaklumkan apa-apa secara bertulis atau secara arahan khususnya daripada Majlis Presiden terhadap kedudukan kita di sini. Jadi kita akan berkempen seperti biasa,” katanya kepada Bernama di sini.

Mohd Fadzli berkata demikian semasa ditanya mengenai ketidakhadiran beliau pada hari penamaan calon DUN Tioman di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini pada Khamis, sebaliknya hanya menghantar wakil bagi mencabut undi untuk menentukan kedudukan pada kertas undi.

Ketiadaan Mohd Fadzli menimbulkan spekulasi, kerana PH Pahang memberi sokongan kepada BN negeri untuk membentuk Kerajaan Negeri Pahang, yang kini tergantung selepas keputusan PRU15 menyaksikan tiada parti memperoleh majoriti mudah 22 kerusi untuk membentuk kerajaan negeri.

Keputusan PRU15 menyaksikan BN memperoleh 16 kerusi DUN, manakala Perikatan Nasional (PN) mendapat 17 dan lapan kerusi dimenangi PH.

Walaupun bersedia memberi laluan, Mohd Fadzli mahu jaminan daripada calon BN bahawa beliau akan menyelesaikan masalah dihadapi penduduk DUN Tioman, terutamanya masalah air, tanah dan infrastruktur di situ.

Mohd Fadzli bagaimanapun, mengakui masih belum bertemu Mohd Johari, yang merupakan penyandang kerusi DUN itu, untuk berbincang berhubung perkara itu.

PRU15 DUN Tioman ditangguhkan kepada 7 Dis ini, ekoran kematian calon PN Md Yunus Ramli, 61, pada 3.30 pagi hari pengundian 19 Nov lepas, dipercayai akibat serangan jantung.

Selain Mohd Fadzli dan Mohd Johari, turut bersaing pada pilihan raya itu ialah calon PN Nor Idayu Hashim, Osman A.Bakar (Pejuang) dan Sulaiman Bakar (Bebas).

Daftar Pemilih Pilihan Raya yang akan digunakan mengandungi 28,465 pemilih terdiri daripada 28,200 pengundi biasa, 262 anggota polis dan tiga Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

Calon PH DUN Tioman sedia beri laluan kepada BN jika diarah