Calon PH diugut, poster disabotaj di Parlimen Bagan Datuk

Calon PH diugut, poster disabotaj di Parlimen Bagan Datuk

Calon Pakatan Harapan (PH) di Parlimen Bagan Datuk, Shamsul Iskandar Mohd Akin mendakwa dirinya dan jentera gabungan itu berdepan provokasi berbentuk ugutan ketika berkempen bagi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Tetapi, katanya, keadaan berjaya dikawal anggota keselamatan dan mereka tidak membuat laporan polis.

“Ada individu memberi amaran kepada saya, berjaga-jaga masuk kampung. Kami juga terima ugutan dan sebagainya, tetapi saya tidak melayan provokasi sedemikian dan kami ada anggota keselamatan yang mengawal keadaan,” katanya kepada FMT.

Selain provokasi berbentuk ugutan, beliau berkata, posternya juga dirosakkan.

“Dalam mesyuarat terakhir bersama wakil parti dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan polis, kita nyatakan kita tidak mahu ada insiden merosakkan harta benda, poster dan sebagainya.

“Kita harus hentikan sabotaj ini semua, suburkan budaya politik yang harmoni,” katanya mengulas insiden sabotaj poster PH baru-baru ini.

Parlimen Bagan Datuk menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan Shamsul, calon Barisan Nasional, Ahmad Zahid Hamidi, calon Perikatan Nasional, Muhammad Faiz Na’aman serta calon bebas, Mohamed Tawfik Ismail.

Shamsul pernah diberi gelaran “Giant killer” selepas mengalahkan bekas ketua menteri Melaka di kerusi Parlimen Bukit Katil pada PRU 2013 dan berjaya mempertahankan kerusi itu pada 2018, ketika ia ditukar nama kepada Hang Tuah Jaya.