‘Cakap cantik sikit’ kata Hakim pada Peguam

‘Cakap cantik sikit’ kata Hakim pada Peguam

Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil hari ini menegur peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah agar menggunakan perkataan lebih sopan dan berhemah dalam mengkritik Hakim Mahkamah Tinggi Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali.

Pada prosiding hari ini, Abdul Karim yang mengetuai panel tiga Hakim ketika prosiding mendengar rayuan itu mengatakan, ketika membuat kritikan Muhammad Shafee boleh menggunakan perkataan seperti ‘salah undang-undang’ dan ‘salah arah’ untuk menunjukkan kelemahan penilaian Hakim Mahkamah Tinggi itu.

“Sila gunakan kata-kata sopan untuk menunjukkan kesalahan dan tidak perlu menggunakan kata-kata seperti ‘poisoned his judgment (meracuni penghakimannya) dan ‘hopelessly incompetent’ (betul-betul tidak cekap),” kata Abdul Karim.

Selain Abdul Karim dua lagi panel yang turut bersidang mendengar hujahan rayuan itu ialah Hakim Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Semalam peguam itu berhujah bahawa Mohd. Nazlan kurang pengalaman luas dalam mendengar kes-kes jenayah selain turut mengatakan kes seumpama itu sepatutnya diadili oleh Hakim yang berpengalaman luas membabitkan prosiding jenayah.

Rayuan itu adalah sabitan salah dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dikenakan Mahkamah Tinggi terhadap Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan itu.-K!ONLINE