Cadangan untuk MB Kedah

Cadangan untuk MB Kedah

Pengambilan ketum tak dapat dikawal lagi. Jus (air rebusan) daunnya boleh diperolehi dengan mudah di pot-pot ketum terutama di negeri-negeri utara Semenanjung.

Di Perlis misalnya, hampir setiap rumah tertanam pokok ketum secara suka-suka atau komersil. Ada orang menjadikan daun ketum sebagai makanan kesihatan secara harian.

Di Kedah walaupun sudah ada fatwa pengambilan (penyalahgunaan) ketum adalah haram, namun fatwa itu dilihat tidak berupaya menyekat penyalahgunaan ketum apatah lagi pengambilannya secara normal.

Mustahil kerajaan berupaya untuk menyekat pengambilan ketum apatah lagi menguatkuasakan larangan penanaman ketum. Pengambilan ketum sudah menjadi “ketum” (ketagihan umum).

Pendekatan yang lebih rasional dalam isu ketum ialah mendidik masyarakat tentang pengambilan ketum yang betul. Hal ini kerana umum mengetahui ketum membawa mudarat hanya apabila disalahgunakan sahaja.

Ajar masyarakat apa yang boleh dan tak boleh tentang ketum. Tunjuki mereka pengambilan dos yang betul. Latih mereka teknik menghasilkan produk ketum yang memenuhi piawaian keselamatan kesihatan. Bimbing mereka mekanisme penanaman ketum yang betul.

Kerajaan boleh berfikir menubuhkan agensi khusus tentang kajian dan pembangunan ketum seperti yang dibuat untuk tanaman kenaf dan tembakau.

Saya fikir pendekatan ini lebih baik daripada pendekatan mengharam atau menyekat orang ramai menanam dan mengambil ketum.

MB Kedah atau mana-mana MB boleh berfikir pendekatan ini daripada berfikir untuk mengalih aliran Sungai Muda yang dilihat tidak relevan dengan realiti dan keperluan masa depan.