Jangan disebut cadangan tubuhkan gabungan besar PN, BN dan GPS

Jangan disebut cadangan tubuhkan gabungan besar PN, BN dan GPS

KUALA LUMPUR: Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris berpendapat cadangan satu gagasan besar melibatkan Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak perlu diulang.

Jelasnya, ini kerana kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Seri Hamzah Zainudin itu sudah pun wujud dan kerajaan yang ditubuhkan hari ini adalah kerana kesepakatan yang dilakukan antara pemimpin parti.

Malah, tegasnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu menjalankan tanggungjawab sebagai ‘abang besar’ dalam usaha memperkasakan gagasan itu.

“Kenyataan Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin hari ini yang menyebut untuk menubuhkan gabungan besar PN, BN dan GPS bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang sewajarnya tidak perlu diulang kerana sekarang ini pun ia telah wujud dan kerajaan yang ada hari ini juga adalah kerana kesepakatan yang dibuat pemimpin parti.

“Perkukuhkan kerjasama antara semua parti dalam Perikatan Nasional. Bersatu sebagai ‘abang besar’ dalam kerajaan perlu fokus membantu memperkasakan BN, PAS dan GPS bagi berhadapan Pakatan Pembangkang (pada) PRU15 akan datang.

“Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu dengan segera untuk membawa kesemua kepimpinan parti yang ada dalam kerajaan dalam semua pekara dasar yang melibatkan kepentingan negara dan rakyat,” katanya menerusi perkongsian di Facebooknya pada Jumaat.

Pada masa sama, Wan Muhammad Azri turut menggesa apa sahaja cadangan oleh kerajaan perlu dibincangkan dalam memastikan ia dijayakan bagi terus memberikan keyakinan kepada rakyat.

“Contoh nya seperti isu KWSP dan moratorium yang hingga ke saat ini kerajaan belum memuktamadkan lagi apa yang dituntut rakyat melalui suara yang dibawa ahli parlimen Barisan Nasional.

“Pihak Pembangkang tidak akan pernah berhenti dari terus memecah belahkan kesepakatan yang dibuat parti kerajaan dan PH juga tidak pernah berhenti menghasut rakyat untuk menolak gabungan besar yang ada dalam kerajaan.

“Bersatu perlu jujur dalam gagasan besar ini bagi kita sesama parti membina kepercayaan antara satu sama lain dalam memikul amanah rakyat. Matlamat kita menang PRU15 dengan majoriti dua pertiga parlimen. InsyaAllah,” ujarnya.

Terdahulu, Hamzah dilaporkan mencadangkan satu gagasan besar diwujudkan secara rasmi bagi melambangkan kesatuan semua tiga gabungan parti besar yang bersama Kerajaan pimpinan PN hari ini, iaitu PN, Barisan Nasional dan Gabungan Parti Sarawak.

Berita penuh : https://www.astroawani.com/berita-politik/cadangan-tubuhkan-gagasan-besar-pn-bn-dan-gps-tidak-perlu-diulang-exco-pemuda-umno-272748?fbclid=IwAR01muhdoIM37cFkRaorNf6064-SCYjaaEIY9nGQRCdl7vRco-SDExFX5-E