Cabul murid, pengawal keselamatan ditahan

Cabul murid, pengawal keselamatan ditahan.
Polis menahan seorang pengawal keselamatan sekolah rendah di Tanah Merah, Kelantan bagi membantu siasatan kes cabul seorang murid lelaki ketika menyertai program qiamullail bersama rakan lain di surau sekolah berkenaan.
Pengawal keselamatan sementara berusia 38 tahun itu ditahan susulan laporan polis yang dibuat bapa mangsa.
Mangsa yang berusia 12 tahun menceritakan kejadian pada Khamis lalu itu, sebaik dijemput dari sekolah pada 10.15 pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Wan Zulfikri Wan Othman berkata, kejadian itu didakwa berlaku pada 12 tengah malam kelmarin di surau itu.
“Pada malam kejadian, mangsa terbabit dengan program qiamullail dan sedang tidur bersama rakan sekolah dalam surau itu ketika didakwa dicabul oleh suspek. Mangsa dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk pemeriksaan,” katanya.
Beliau berkata, suspek dibawa ke mahkamah pagi tadi untuk mendapatkan perintah reman bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.